“APA sahaja yang berlaku ada hikmahnya. Jangan pandang yang tidak baik sahaja. Setiap yang berlaku ada baik, tidak baiknya. Elok kita pandang yang baik.”
Itu pesanan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), DATUK SERI MOHAMAD HASAN khususnya kepada ahli-ahli UMNO. Ia diungkapkan Mohamad apabila ditanya wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL tentang impak yang bukan sedikit dihadapi UMNO ekoran tumbangnya kerajaan diketuai parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tempoh hari.
Kata Mohamad lagi, hasil PRU-14 itu boleh jadi untuk menyedarkan orang Melayu supaya belajar berdikari kerana selama ini kerajaan telah beri macam-macam. Dalam sembang santai hampir sejam di sebuah restoran mamak di Taman Tun Dr. Ismail di ibu negara malam kelmarin, Mohamad yang bertindak sebagai Pengarah Jentera Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis turut berpesan-pesan kepada jentera pilihan raya UMNO termasuk luahan hatinya kepada Pas. Ikuti temu bual berikut:
UTUSAN: Nampaknya tugas Datuk Seri agak mencabar selaku Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) UMNO untuk PRK Sungai Kandis?
MOHAMAD: Tidak ada beza dengan semasa saya mengetuai jentera pilihan raya BN di Negeri Sembilan dahulu. Cuma sekarang UMNO masuk gelanggang sebagai parti pembangkang. Strategi kempen tidak lagi ikut budaya lama seperti mengadakan majlis ceramah umum, tetapi low profile, bersederhana, man to man marking dan ceramah kecil-kecilan. Syukur alhamdulillah, Pas beri laluan pada BN. Tidak ada persaingan tiga penjuru, yang calon Bebas itu kita tidak kira sangat. Kalau UMNO kerja kuat sedikit, susun strategi yang berkesan, dengan izin Allah kita boleh menang.
Adakah ini bermakna sesuatu yang baik dari aspek hubungan UMNO-Pas?
Ini titik permulaan untuk mencari persamaan Pas-UMNO. Cukuplah yang sudah-sudah, kita buanglah pemikiran lama demi kebaikan kedua-dua pihak, demi Islam. Dua parti Melayu ini mesti cepat-cepat cari titik persamaan, buang ego.
Ini demi kebaikan Islam kerana dua parti inila h punca orang Melayu berpecah-belah. Mana tidaknya, UMNO menghasilkan parti serpihannya, PKR dan Bersatu, sementara parti serpihan Pas pula adalah Amanah. Maka, kalau dua parti induk ini boleh duduk sama-sama seperti dalam PRK Sungai Kandis, kita berdoa semoga ini mencetuskan permulaan pemikiran politik baharu.
Kelihatannya dalam tempoh dua bulan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) ini sudah menyebabkan orang Melayu berasa ‘cuak’ dan ‘tersentak’, benarkah tanggapan ini?
Itu pemikiran baharu yang dibawa oleh PH. Ramai yang sokong nak Malaysia Baharu, jadi, hadaplah.
Ada beranggapan UMNO mampu mengikut jejak parti LDP di Jepun yang kembali berkuasa semula setelah satu penggal kalah?
Tidak semudah itu untuk meraih kuasa semula melainkan melalui usaha bersepadu. Namun dalam politik segalanya tidak mustahil, apa saja boleh berlaku. UMNO sebagai parti teras Melayu mesti kuat. Kalau wujud kesefahaman dengan Pas, tidak mustahil kita dapat rampas kembali kerajaan-kerajaan negeri dan Pusat dalam PRU-15.
Adakah wujud persefahaman dengan Pas itu ke arah itu?
Buat pertama kali saya berasa terharu dan gembira melihat bagaimana Pemuda UMNO dan Pas dapat bersama dalam kempen PRK Sungai Kandis. Ini sejarah baharu politik tanah air. Dulu tidak boleh berjumpa langsung, asyik bercakaran.
Ada beranggapan UMNO/BN tidak perlu tunggu sehingga maksimum lima tahun untuk mencabar kerajaan Pakatan Harapan, malah Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pun dikatakan pernah mengadakan PRU lebih awal dalam tempoh tiga tahun setengah semasa berkuasa. Apa kata Datuk Seri?
Itu sebabnya mengapa UMNO perlu bertanding dalam PRK Sungai Kandis ini walaupun baru sahaja kalah (dalam PRU-14, 9 Mei lalu). PRK ini suatu peluang untuk kita melatih jentera pilihan raya. Ini juga kali pertama kali UMNO bertindak sebagai pembangkang sekali gus menjadi medan ujian yang baik.
Dan sejauh mana kita bersedia dari segi mental dan fizikal bahawa kita bukan lagi kerajaan. Menang, kalah perkara lain. PRK ini berguna untuk uji kekuatan jentera dan mengukur sejauh mana penerimaan pengundi.
Kalau asyik kata tidak ada peluang menang, kelak menjelang PRU-15 kita macam itu lah, tiada latihan pada jentera pilihan raya. Lagi banyak PRK kita tandingi, lebih baik. Lagipun corak kempen kita sudah ubah 360 darjah. Tiada lagi majlis-majlis tetapi kempen bawa isu. Tidak ada lagi jabatan-jabatan bantu berkempen.
Adakah ini bermakna peluang menang tetap ada?
Ya, sebab sekarang UMNO tidak ada masalah lagi. Orang tidak boleh lagi mengaitkan dengan 1MDB, tidak lagi salahkan UMNO pasal Felda, kenaikan harga barang atau penyebab harga minyak tinggi kerana segalanya kini terletak pada tanggungjawab PH. UMNO dan BN kini bebas dari isu. Dengan ini UMNO kini dapat mengukur sokongan rakyat menerusi kempen-kempen yang berkesan. Atau masih terkebelakangkah kita dari segi momentum media sosial? Macam-macam indikator kita boleh buat kajian.
Masih terdengarkah isu lompat parti dalam kalangan ahli-ahli Parlimen UMNO ini?
Parti Bersatu sentiasa pujuk ahli-ahli Parlimen UMNO supaya sertai mereka. Yang penting perlu ada jati diri perjuangan pada ahli-ahli parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO. Kalau dapat dipujuk dengan jawatan, itu bukan namanya perjuangan.
Tapi kelihatannya UMNO/BN berdepan cabaran untuk menarik sokongan dan minat golongan muda khususnya dalam lingkungan 21 hingga 35 tahun?
Kita tak usah takut dengan orang muda. Ia satu generasi yang tidak ada brand loyalty. Tak macam yang tua dahulu…satu brand (jenama) pakai sampai mati, kerat 18 pun tidak akan ubah.
Yang muda ini adalah generasi pasang siap. Apa yang dia nampak depan mata, dia akan ikut. Anak-anak muda sekarang tidak akan kekal pada satu jenama sahaja, boleh berubah. Kita tidak perlu takut dengan orang muda yang ada maklumat terkini.
Mereka benci rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Kalau UMNO boleh bebas dari gejala ini, saya tidak nampak orang muda tidak akan kembali sokong UMNO. Seperti saya katakan tadi, UMNO sudah menjadi sehelai kertas putih. Kini, kerja PH untuk selesaikan masalah rakyat, dulu kata kos sara hidup tinggi, sekarang turunkanlah. Dulu kata nak mansuh bayaran balik hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), buatlah.
Jadi, UMNO ada tugas besar berdepan dengan pengundi era Malaysia Baharu?
UMNO mesti pandai bawa isu. Pokoknya mesti bebas dari sebarang skandal. Kalau usaha lebih lagi dibuat, perjuangkan suara rakyat dan menjulang tadbir urus yang baik (good governance), saya yakin UMNO akan berjaya. Bukan semua anak muda marah pada UMNO, sama ada ia sengaja dibuat-buat oleh PH bahawa kerajaan UMNO itu korup, kita tak pasti. Tapi kerana seekor dua kerbau bawa lumpur, habis terpalit semua.
Seperkara lagi yang amat penting, siapa yang kuasai media, dia ada kelebihan. Mana-mana negara yang presidennya menang dapat menguasai media. Tidak perlu 3.6 juta ahli atau buat majlis ceramah besar-besaran, padahal dengan live streaming sahaja beribu-ribu menjadi pengikut (followers). Kadang kala kita ‘kelabu mata’ dan rasa selesa melihat fizikal sahaja dengan 10,000 hingga 15,000 hadir. Lihat sahaja PH, tidak ramai orang datang ke ceramah mereka tetapi yang mengikutnya menerusi live streaming, ribuan orang.
Apa pesanan Datuk Seri kepada ahli UMNO termasuk mereka yang sedang berkempen menghadapi PRK Sungai Kandis?
Parti UMNO ini adalah teras orang Melayu. Kadang kala seseorang itu lupa sehinggakan kepentingan parti dibelakangkan. Kata orang Negeri Sembilan, jenjang dinaiki, tangga dituruni. Duduk atas jenjang jangan lupa tangga kerana tangga itulah yang membawa kita naik.
Tapi banyak duduk atas jenjang sampai lupa turun padang. Lupa dia naik dulu sebab parti yang julang dia. Bila ada jawatan, lupa parti sampaikan nak popularkan diri sendiri. Sehinggakan tumpu nak capai KPI (Petunjuk Prestasi Utama), sampai sakiti rakyat dan penyokong sendiri sehinggakan laksana dasar-dasar tidak popular yang akhirnya parti dapat bala bila hadapi PRU.










