SEBAGAI anak Orang Asli, Suhairyzal Majid membuktikan bahawa kesungguhan dan keazaman sememangnya kunci bagi mencapai kejayaan. Melihatkan kejayaan yang dikecapi abang dan kakaknya, pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar, Kuala Pilah itu menanam tekad untuk berjaya dalam Sijil Pelajaran Malaysia dan seterusnya di menara gading.
Ini supaya beliau boleh menyumbang kembali kepada masyarakat Orang Asli. Suhairyzal, 16, anak Orang Asli suku Temuan, merupakan seorang daripada 44 pelajar Orang Asli yang berpeluang belajar di sekolah berasrama penuh selepas cemerlang dalam pelajaran.Selain sekolah berasrama penuh, seramai 62 anak Orang Asli dari seluruh negara kini ditempatkan di Maktab Rendah Sains Mara dan 82 pelajar di sekolah kluster kecemerlangan yang merupakan sekolah bertaraf tinggi.
Jumlah mereka yang dikategorikan sebagai pelajar cemerlang dan berpotensi tinggi dalam kalangan Orang Asli adalah kurang 1 peratus berbanding kira-kira 14,000 pelajar Orang Asli yang kini mendapat pendidikan formal di sekolah menengah di seluruh negara.
Berasal dari Kampung Orang Asli Guntur, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Suhairyzal, anak ketujuh daripada lapan beradik bangga menjadi anak Orang Asli yang berpeluang bersaing dengan pelajar kaum lain.
Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Tengkek, yang tidak jauh dari kampungnya, dan mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang melayakkannya ke sekolah berasrama penuh bagi aliran sains. Bagi Pentaksiran Tingkatan 3 tahun lepas, beliau mendapat 7A dan 2B yang baginya satu keputusan yang sedikit mengecewakan.
“Saya sasarkan untuk mendapat 9A, tapi rezeki saya hanya dapat 7A sahaja. Kegagalan ini membakar semangat saya untuk memastikan mendapat keputusan yang terbaik pada SPM tahun hadapan,” katanya yang bercita-cita melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan komputer.
Melihat kesusahan bapanya yang mengambil upah bekerja di kampung membuatkan anak muda itu berazam mengubah kemiskinan dengan keluar dari kegelapan ilmu.
“Inilah semangat yang sentiasa ditanam oleh kesemua adik beradik saya dengan menjadikan ilmu pengetahuan sebagai keutamaan. Sekarang enam kakak dan abang saya berjaya dan menjadi ahli farmasi, pegawai bank, akauntan, jurutera, guru dan doktor,” katanya pada Program Pemerkasaan Murid Orang Asli Sekolah Berasrama Penuh 2018/2019 di Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini.
Isu pendidikan terutama keciciran pelajar dalam kalangan Orang Asli bukan perkara baharu. Dapatan Kementerian Pendidikan Malaysia pada 2013 menunjukkan kadar keciciran yang tinggi dalam kalangan murid Orang Asli menyebabkan pencapaian pendidikan dalam kalangan mereka agak rendah berbanding purata kebangsaan.
Hanya 20 peratus murid Orang Asli tamat sekolah menengah iaitu kurang separuh daripada purata kebangsaan iaitu 72 peratus. Sementara itu, hanya 61 peratus murid Sekolah Kebangsaan Asli lulus mata pelajaran teras dalam peperiksaan UPSR berbanding berbanding purata kebangsaan 87 peratus dan sebanyak 35 peratus Sekolah Kebangsaan Asli berada dalam band sekolah berprestasi rendah (Band 6 dan 7) berbanding hanya 1 peratus sekolah awam.
Perbincangan meja bulat Unit Perlaksana dan Prestasi Pendidikan (PADU) tentang hala tuju pendidikan Orang Asli pada 2016 menyenaraikan resolusi termasuk mahu jumlah pelajar Orang Asli di sekolah berasrama penuh ditingkatkan. Rentetan itu, beberapa inasiatif diambil termasuk Program Pemerkasaan Murid Orang Asli Sekolah Berasrama Penuh dengan kerjasama UPM dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).
Matlamat yang jelas adalah meramaikan lagi bilangan pelajar Orang Asli di sekolah-sekolah berasrama penuh, kata Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia UPM, Dr. Mohd. Roslan Rosnan, yang pernah dijemput menjadi panel PADU.
“Ini program kali kedua. Kali pertama pada tahun lepas yang melibatkan 33 pelajar Orang Asli yang berada di asrama penuh. Tahun ini, ada pertambahan kerana kemasukan Tingkatan 1 pada tahun ini,” katanya.
Program secara komprehensif itu melibatkan tiga fasa dengan yang pertama menumpukan kepada sesi mentor, pembentukan sikap, personaliti, gaya pembelajaran dan penghayatan nilai serta budaya. Ia dikongsikan dengan menggunakan metod kaunseling personaliti dan juga bimbingan rakan sekumpulan.
Mohd Roslan berkata, masalah utama pelajar Orang Asli adalah keyakinan diri dan bimbang untuk mara ke hadapan.
“Tembok ini yang cuba kita pecahkan dalam diri mereka. Melalui program ini, kita mahu mereka bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran tetapi mereka boleh terus ke hadapan dan tidak lagi merasa ketinggalan,” katanya.
Fasa kedua program pada September depan akan diadakan di Pulau Pangkor, Perak dengan penyertaan ibu bapa pelajar serta fasa ketiga atau terakhir pada Januari depan di UPM.
Pelajar-pelajar cemerlang itu akan dilatih menjadi mentor kepada pelajar baharu Orang Asli yang memasuki Tingkatan Satu di asrama penuh pada tahun hadapan.
“Sebelum pelajar Orang Asli ini mendaftar ke asrama penuh, mereka akan datang ke UPM dahulu untuk sesi orentasi, sesi penetapan matlamat sebelum masuk ke sekolah berasrama penuh yang ditetapkan. Kita juga merancang membawa pelajar-pelajar cemerlang ke sekolah-sekolah Orang Asli untuk menjadi mentor,” katanya sambil memberitahu bahawa kisah kejayaan pelajar Orang Asli akan dibukukan untuk dijadikan inspirasi dan rujukan anak Orang Asli. – BERNAMA
Orang Asli Malaysia, Australia
MOHD. Roslan Rosnan, yang membuat perbandingan masyarakat Orang Asli di Malaysia dan Australia dalam kajian peringkat doktor falsafahnya tiga tahun lepas, berkata, masyarakat Orang Asli di negara Kanggaru itu jauh ke hadapan dalam pelbagai aspek termasuk pendidikan.
“Pemerkasaan pendidikan menjadi asas kepada kejayaan masyarakat Orang Asli di sana yang telah melalui beberapa fasa. Mereka memulakan dengan melatih ramai masyarakat pribumi menjadi guru untuk mereka mengajar dan mendidik anak-anak komuniti pribumi menjadi orang yang terpelajar dan profesional,” katanya.
Kemudian pada 1970-an apabila berlaku diskriminasi untuk mendapatkan rawatan hospital, mereka meramaikan pula jururawat dan doktor dalam kalangan mereka. Apabila lahir golongan terpelajar dan profesional, kumpulan itu menyumbang kembali kepada masyarakat untuk bersama-sama membangunkan komuniti mereka di sana.
“Keadaan ini tidak berlaku di negara kita apabila ramai kalangan Orang Asli yang telah berjaya dan tinggal di bandar tidak mahu menyumbang kembali ke kampung halaman. Antara sebabnya kerana tidak mahu adanya kebergantungan dalam kalangan masyarakat terhadap mereka,” katanya.
Menurutnya dasar yang sering berubah dalam usaha memperkasa masyarakat Orang Asli turut terhalang kerana usaha itu tidak memberi fokus kepada kumpulan sasaran.
Namun, apa yang lebih utama dalam memperkasa pendidikan Orang Asli adalah mengubah sikap masyarakat itu sendiri demi masa depan anak cucu mereka, kata Mohd Roslan. – BERNAMA










