KUALA LUMPUR 10 Julai – Walaupun sudah lebih sebulan cukai barang dan perkhidmatan (GST) diletakkan pada kadar sifar sejak 1 Jun lalu, dan kerajaan mengumumkan bahawa 70 peratus barangan telah turun harga, namun bagi pengguna mereka tidak merasakan penurunan harga barang.
Tinjauan Utusan Online mendapati orang ramai merasakan tidak ada perbezaan harga barangan sama ada ketika GST pada kadar enam peratus atau selepas GST sifar.
Malah kata mereka, walaupun kerajaan menegaskan 70 peratus barangan sudah turun harga, namun sebagai pengguna mereka tidak merasakan penurunan itu seperti yang didakwa.
Kata mereka, jika ada sekalipun, jumlah harga barang yang mengalami penurunan selepas GST sifar sangat sedikit.
Ironinya, perkara itu adalah bertentangan dengan kenyataan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang mempertahankan hasil kajian pihaknya mendapati 70 peratus barangan pengguna mengalami penurunan harga sejak GST dihapuskan.
Menurut seorang suri rumah, P. Algammal, 53, harga barangan keperluan asas seperti produk makanan dilihat semakin meningkat sebanyak 10 hingga 20 sen, walaupun GST ditetapkan pada kadar sifar.
“Baru-baru ini, saya ada membeli serbuk kari di mana harganya meningkat sebanyak 10 hingga 20 sen. Sepatutnya, selepas GST dihapuskan, harga akan lagi menurun.
“Tapi, saya rasa sama sahaja, tiada apa-apa perbezaan pun. Kalau dulu perbelanjaan harga barangan dapur mencecah RM300, sekarang ini pun tetap sama,” katanya ketika ditemui Utusan Online hari ini.
Sebelum ini, Saifuddiin berkata, beliau sendiri dimaklumkan mengenai perkara itu oleh peniaga ketika melakukan tinjauan termasuk di pasar Bayan Baru, Pulau Pinang pada Sabtu lalu.
Namun, pelbagai pihak termasuk orang ramai mempersoalkan kenyataan Saifuddin mengenai penurunan harga 147 barangan sehingga 70 peratus antara 1 Jun hingga 30 Jun lalu.
Dalam pada itu, bagi pekerja swasta, Jaclyn Phong, 35 berpendapat, penghapusan GST yang dijanjikan oleh kerajaan untuk tidak membebankan pengguna seolah-olah tidak berjaya.
“Walaupun GST dihapuskan, perbelanjaan kelihatan tidak menjimatkan pun, masih sama seperti sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, guru tadika, Sarah Mohd. Tahir, 34, mengakui bahawa tidak melihat sebarang perbezaan harga setelah penghapusan GST dilakukan.
Malah katanya, walaupun kerajaan mengatakan 70 peratus barangan sudah turun harga, namun sebagai pengguna dia tidak merasakan sebarang perbezaan pada harga barangan.
“Sejak GST dihapuskan, saya tidak perasan pun perbezaan harga terutamanya pada barangan keperluan asas. Tetapi, saya tidak menafikan bahawa penghapusan GST mungkin memberikan penjimatan perbelanjaan kepada sesetengah pihak,” katanya. – UTUSAN ONLINE










