Menteri arah mahkamah sediakan pendingin hawa mudah alih - Utusan Malaysia

Menteri arah mahkamah sediakan pendingin hawa mudah alih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 30 Julai – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Liew Vui Keong telah mengarahkan supaya pihak pengurusan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur (KMKL) untuk menyediakan pendingin hawa mudah alih bagi mengatasi masalah kerosakan peralatan tersebut.

Peralatan pendingin hawa yang disediakan sebelum ini menurut beliau, perlu ditukar keseluruhan sistemnya dan dijangka memakan masa selama enam bulan.

“Masalah pendingin hawa sangat menakutkan dan sebanyak 84 buah mahkamah pendingin hawanya tidak dapat digunakan ekoran kegagalan fungsi sistem berpusat sehingga terpaksa menggunakan pendingin hawa mudah alih yang tidak mencukupi untuk sesebuah bilik bicara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Keadaan ini tidak sihat dan tidak kondusif untuk menjamin kelancaran fungsi sesebuah mahkamah. Saya tidak mahu hakim duduk dalam situasi tertekan dalam mendengar dan mengadili sesuatu kes kerana mereka tidak boleh berfikir dengan baik,” ujar Vui Keong.

Katanya, beliau telah mengarahkan supaya pendingin hawa mudah alih disediakan dengan memberi keutamaan kepada mahkamah yang menghadapi masalah yang kritikal terlebih dahulu demi menjamin kelangsungan tugas para hakim, petugas mahkamah dan peguam selain orang awam yang hadir untuk berurusan di situ.

Vui Keong menyatakan demikian kepada pemberita selepas selesai sesi lawatan rasmi beliau buat pertama kali ke KMKL dengan ditemani Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum yang membuat lawatan susulan bagi mengetahui perkembangan keadaan kompleks tersebut.

Semalam Malanjum sendiri turun padang mengetuai gotong-royong membersihkan kompleks mahkamah

ekoran 100 petugas pembersihan kompleks itu melancarkan mogok sejak seminggu lalu.

Ditanya sama ada pihaknya akan mengambil tindakan terhadap kontraktor pembersihan yang memperoleh tender tersebut namun gagal menunaikan tanggungjawab yang diberikan, Vui Keong berkata, tindakan tertentu mesti diambil ke atas mereka.

“Kontraktor terbabit tidak menyediakan pekerja yang mencukupi bagi menyelenggara keseluruhan bangunan KMKL dan gagal melaksanakan tugas tersebut. Ini benar-benar tidak boleh diterima sebagai asas dan merupakan pelanggaran terma serta syarat kontrak dan saya telah mengarahkan pihak pengurusan Istana Kehakiman (POJ) untuk melihatnya,” kata menteri tersebut.

Hasil lawatan dan pemerhatian, katanya, beliau turut mendapati ada beberapa bahagian bangunan tersebut yang bocor misalnya kubah dan bumbung di tingkat lapan selain struktur yang retak dan perlu ditangani secepat mungkin bagi mengelakkan daripada berlakunya bencana.

Beliau seterusnya meminta pihak pengurusan KMKL boleh memberikan alasan dan laporan komprehensif kepadanya dan sekiranya alasan kewangan (yang menjadi punca) maka perlu mencari jalan penyelesaian.

Katanya, kerajaan baharu tidak membenarkan sebarang ketirisan berlaku dalam apa juga urusan bagi memastikan wang yang dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.

Turut sama dalam lawatan tersebut ialah Timbalan Menteri di JPM (Undang-undang) Mohamed Hanipa Maidin.

Hadir sama ialah Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk David Wong Dak Wah dan Pengarah Mahkamah Kuala Lumpur, Ahmad Kamar Jamaludin.

Dalam lawatan lebih kurang sejam yang bermula pada pukul 3 petang itu juga, Malanjum turut dibawa melawat Mahkamah Pembinaan dan diberikan taklimat oleh Hakim mahkamah itu, Datuk Lee Swee Seng.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×