Memahami sejarah penubuhan MBM - Utusan Malaysia

Memahami sejarah penubuhan MBM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENJENGAH 23 Julai 2018 nanti maka genaplah Majlis Belia Malaysia (MBM) berusia 70 tahun. Dalam usia ini semestinya MBM telah melalui zaman perubahan yang amat bermakna dalam sejarah pergerakan belia di Malaysia.

Tidak dapat dinafikan pembentukan sesebuah negara juga tidak terpisah dari susur galur perjuangan pergerakan belia sejak sebelum merdeka hinggalah ke hari ini.

MBM ialah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan bergerak sebagai badan induk yang menyelaraskan pertubuhan belia dan pelajar di negara ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menyingkap sejarah penubuhan MBM, pada 23 Julai 1948, pertemuan seramai 75 orang wakil pertubuhan di Victoria Institution telah membuka laluan kepada penubuhan MBM. Ekoran daripada penubuhan Jawatankuasa Khas Sementara Belia ini, Abdul Razak Hussein (Tun) dan Tuanku Ja’afar Ibni Tuanku Abdul Rahman telah mewakili Tanah Melayu di Persidangan  Perhimpunan Belia Sedunia (World Assembly of Youth – WAY) di Brussel.

Bermula dari situlah WAY telah mengiktiraf MBM (sementara) sebagai Jawatankuasa Kebangsaan baginya di Tanah Melayu.

MBM 7 DEKAD
 

Perwakilan Belia yang bersidang pada Julai 1948 telah berbincang dan berusaha menubuhkan Majlis Belia Negeri dan Settlements. Majlis Belia Negeri Pulau Pinang dan Province Wellesley telah ditubuhkan pada 17 November 1948 dan merupakan Majlis Belia Negeri yang pertama di Tanah Melayu.

MBM  telah diiktiraf secara rasmi pada 9 September 1950 di Pulau Pinang setelah perlembagaannya diterima pakai. Mesyuarat Agung pertama telah diadakan dengan kehadiran badan-badan gabungannya iaitu Majlis Belia Negeri (Kedah, Terengganu, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang), Pertubuhan Budak Pengakap, Pandu Puteri (Malaya dan Singapura) dan Persaudaraan Belia Methodist Tanah Melayu. Mesyuarat telah menerima F.C Arulanandum sebagai Presiden (Pengerusi) Majlis Belia Malaysia yang pertama. Pada tahun 1951, kerajaan telah mengiktiraf Majlis Belia Malaysia sebagai Majlis Kebangsaan bagi pertubuhan belia negara ini.

Pada peringkat awal penubuhannya, MBM tidak dapat bergerak cergas kerana kedudukan panitianya yang bertaburan, di samping masalah kewangan, pentadbiran dan tiadanya kakitangan yang tetap. Di tahap awal ini MBM lebih cenderung berhubungan dengan WAY iaitu badan induknya dan seolah-olah kegiatan MBM ditentukan oleh WAY.

Tahap sebelum merdeka ini juga memperlihatkan MBM cuba meyakinkan pertubuhan-pertubuhan belia yang belum bergabung dengannya untuk turut serta. Kerajaan British ketika itu juga dikatakan memberi galakan kepada gerakan belia di negara ini. Pertukaran Pesuruhjaya Tinggi, Malcolm McDonald ke India pada September 1955 memberi rahmat kepada MBM.

Tunku Abdul Rahman Putra selaku Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu telah menjadi penaung menggantikan beliau. Di bawah kepimpinan Tunku Abdul rahman, MBM telah diiktiraf sebagai pertubuhan koordinasi belia nasional maka MBM lebih memberikan perhatian kepada program-program nasionalnya, sedangkan sebelum ini kegiatan dengan WAY lebih diberikan penekanan. Pergerakan MBM turut menerima pengaruh peranan dalam usaha memerdekakan negara dari kuasa penjajah.

Pada tahun 1960an, MBM mula pemperlihatkan keaktifan dan sikap proaktif serta lantang melaungkan isu-isu pembangunan negara dan dianggap sebagai “Pejuang suara belia dan rakyat”. MBM  didaftarkan dibawah Akta Pertubuhan Bil R.R.M.65/68(8)P.P/SEL.16/68 pada 18 Jun 1968. Ia merupakan NGO yang diktiraf sebagai Majlis Belia Kebangsaan dengan berdiri mewakili suara kepentingan belia negara.

MBM telah bekerjasama dengan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan telah diberikan slot bagi rancangan “Belia Bergerak Maju” di Radio dan Televisyen Malaysia (RTM). Melalui program ini, pelbagai aktiviti ahli telah dihebahkan. MBM juga semakin aktif melibatkan diri dengan pertubuhan-pertubuhan belia di peringkat antarabangsa.

Tahun 1970an memperlihatkan perubahan besar dalam MBM. Desakan agar pengiktirafan diberikan oleh pihak kerajaan kepada golongan belia telah menghasilkan penubuhan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) pada tahun 1971. Penglibatan golongan pelajar dalam MBM juga telah membawa arus yang berlainan dan lebih lantang dalam menyuarakan hak rakyat dan peranan belia. Bahkan MBM sendiri hampir terkubur akibat percanggahan pendapat dan pembawaan pimpinan. Bagaimanapun krisis yang melanda pada tahun 1974/75 itu telah menjadikan MBM lebih matang dalam perjuangannya.

Walaupun terdapat badan-badan gabungan yang menarik diri dari bergabung dengan MBM, namun di akhir tahun 1970an, penyertaan dan penyatuan semula pertubuhan tertentu telah mengembalikan kekuatan dan reputasi MBM.

Tahun 1980an, kedudukan MBM kian mantap dan misi utama pergerakannya, “Belia Bertindak untuk Keadilan dan Kebenaran” telah mula dipraktikkan di dalam agenda perjuangannya. Cabaran besar dan pelbagai masalah seperti ekonomi dan pengganguran, masalah sosial (moral, akhlak, dadah dan budaya barat), salahguna kuasa dalam syarikat serta koperasi telah menuntut MBM lebih bertanggungjawab demi masa depan generasi belia negara.

MBM semakin giat dan aktif merealisasikan misi dan perjuangannya. Pelbagai seminar, bengkel dan program kerjasama telah dianjurkan sama ada dengan agensi kerajaan dan swasta dalam negeri mahupun pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan di peringkat antarabangsa. Pemilihan (Tan Sri) Mohd. Ali Rustam sebagai Presiden WAY di Perhimpunan Agung ke-13 Perhimpunan Belia Sedunia (WAY) di Kuala Lumpur pada 1993 dan kemudiannya pemilihan (Datuk) Fuad Hassan sebagai Setiausaha Agung Majlis Belia Asia (AYC) seterusnya Mustaffa Kamil Ayub sebagai Presiden Jawatankuasa Kerjasama Belia ASEAN (CAYC) menandakan suatu pegiktirafan kepada perjuangan MBM di peringkat antarabangsa masa ini.

Era separuh pertama 1990an memperlihatkan MBM memainkan peranan lebih agresif dan tidak hanya cuba menangani isu-isu tempatan tetapi juga menjurus kepada permasalahan dunia. Corak dan kemampuan kepimpinan belia menghadapi cabaran hebat dalam era globalisasi sesungguhnya telah menjamin kejayaan MBM mempertingkat martabatnya di mata dunia. MBM sentiasa menerima dan menilai sesuatu cabaran dengan terliti bagi menjamin keseimbangan agenda perjuangan agar tidak terkeluar dari landasan nilai-nilai murni dan budaya yang boleh membantutkan arus pembangunan sebagaimana yang diharapkan oleh kerajaan memerintah.

Kini MBM akan kekal terus sebagai rakan kongsi utama bukan sahaja bersama Kementerian Belia dan Sukan tetapi juga merentasi semua kementerian dalam konteks membangunkan generasi muda berteraskan cogankatanya Belia Bertindak Untuk Kebenaran dan Keadilan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×