Mayat lelaki dijumpai terapung di Sungai Skudai - Utusan Malaysia

Mayat lelaki dijumpai terapung di Sungai Skudai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU – Mayat seorang lelaki tanpa identiti ditemukan terapung oleh orang awam di Sungai Skudai, Kampung Jaya Sepakat, berhampiran jambatan landasan keretapi di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Dzulkhairi Mukhtar berkata, mayat itu dijumpai kira-kira 1 tengah hari oleh seorang lelaki yang datang ke lokasi berkenaan untuk memancing.

Katanya, berdasarkan keadaan fizikal, dipercayai mayat berkenaan telah berada dalam sungai tersebut lebih daripada seminggu. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ketika ditemui, mangsa tidak memakai baju manakala seluar telah terbuka sehingga ke bahagian lutut serta tiada sebarang dokumen diri ditemukan,” kata beliau dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut turut mendapati terdapat kesan lubang kecederaan pada belakang badan dan lengan kiri mangsa selain kesan ikatan dengan bahan getah pada kedua-dua kaki.

Selain itu, terdapat ukiran tatu burung merak yang tidak jelas di bahagian lengan tangan kanan mangsa.

Menurut Dzulkhairi, pihaknya telah menyoal siasat lelaki yang menemukan mayat berkenaan dan dimaklumkan kali terakhir datang ke lokasi dua hari lepas namun tidak melihat mayat terbabit.

Proses bedah siasat mayat akan dilakukan esok di Hospital Sultanah Aminah (HSA) bagi mengetahui identiti mangsa dan punca kematian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×