NEW DELHI – Seorang wanita berusia 19 tahun ditahan selepas mayat bayi baru lahir ditemui di dalam tandas sebuah pesawat penumpang India, kata polis semalam.
Kru kabin penerbangan domestik AirAsia kelmarin menemui bayi itu dalam keadaan mulutnya disumbat tisu tandas beberapa minit sebelum pesawat berkenaan mendarat di ibu kota ini.
Pihak berkuasa berkata, pesawat itu berlepas dari bandar Guwahati, timur India ke kota raya ini tetapi enggan memberi butiran lanjut pada masa ini.
“Seorang doktor daripada pasukan perubatan di Lapangan Terbang Antarabangsa New Delhi mengesahkan bahawa bayi itu dilahirkan ketika dalam penerbangan,” kata syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan.
Syarikat AirAsia berkata, berikutan penemuan itu, semua penumpang wanita disoal siasat sebelum suspek dikenal pasti dan ditahan.
“Wanita berusia 19 tahun itu mengakui dia telah melahirkan bayi berkenaan dan dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan menjalani pemeriksaan.
“Dia cuma memberitahu kami bahawa dia merupakan seorang ahli sukan tetapi enggan mendapatkan pemeriksaan perubatan selain tidak mahu memaklumkan mengenai butiran lanjut mengenai insiden itu,” kata seorang pegawai polis, Sanjay Bhatia kepada AFP.
Pasukan penyiasat kini cuba menghubungi keluarga remaja itu untuk mendapatkan butiran terperinci.
Dia kini berhadapan hukuman denda dan penjara maksimum sehingga dua tahun. – AFP










