Ibu mangsa buli turut bersedih buat Zara Qairina

Ibu mangsa buli turut bersedih buat Zara Qairina

ZARA QAIRINA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang ibu yang kehilangan anak akibat dibuli di sebuah kolej vokasional tahun lalu tidak dapat menahan sebak ketika berucap pada himpunan solidariti buat pelajar, Zara Qairina Mahathir, di sini malam tadi.

Siti Hamidah Jumari, 46, ibu kepada Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul yang meninggal dunia pada Mac 2024, berkata dia memahami sepenuhnya kesedihan ibu Zara, Noraidah Lamat.

“Apa yang ibu Zara rasa, saya pun rasa. Kita hantar anak ke sekolah dengan harapan masa depan mereka, tetapi bila lihat dia terbaring kaku, saya tak dapat gambarkan,” katanya.

Mohamad Nazmie, 17, meninggal dunia di Kolej Vokasional Lahad Datu pada 22 Mac tahun lalu akibat kecederaan serius dengan 107 kesan kecederaan. Seramai 13 pelajar lelaki berusia 16 hingga 19 tahun telah dituduh membunuhnya.

Menurut Siti, dalam kes anaknya, semua suspek telah diberkas, namun kes Zara masih belum ada individu dipertanggungjawabkan.

Zara, 13, ditemukan tidak sedarkan diri kira-kira pukul 4 pagi, 16 Julai lalu selepas didakwa terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah. Dia meninggal dunia sehari kemudian di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.

Kes berkenaan mendapat perhatian seluruh negara dan menimbulkan kebimbangan terhadap isu buli di sekolah. Polis sudah mengambil keterangan kira-kira 60 saksi, manakala Noraidah membuat dua laporan polis bagi memohon inkues serta menggali semula kubur anaknya bagi bedah siasat semula.

Tiga himpunan solidariti buat Zara diadakan serentak malam tadi di Lahad Datu, Sandakan dan Tawau, dengan kehadiran ribuan orang ramai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN