PADANG RENGAS: Lima beranak yang meninggal dunia dalam nahas jalan raya di Kilometer 310.1, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Gua Tempurung di sini hari ini, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad sebentar tadi.
Jenazah Allahyarhamah Azriyani Abdul Latif, 45, dan empat anaknya, Muhammad Azib Nasaruddin, 23; Siti Nur Aminah, 8; Ahmad Uwais Al Qorni, 5, dan Muhammad Fawwaz, 7, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Panjang pada pukul 6.50 petang.
Terdahulu, jenazah lima beranak itu dibawa dari Hospital Kampar ke Masjid Al-Hadhari di sini sekitar pukul 5.11 petang untuk disembahyangkan sebelum dibawa ke tanah perkuburan pada pukul 5.55 petang.
Proses pengebumian berjalan lancar dengan kehadiran lebih 500 orang terdiri dalam kalangan ahli keluarga, sahabat handai dan penduduk kampung.
Kejadian sekitar pukul 2 pagi itu berlaku ketika lima beranak berkenaan dalam perjalanan dari rumah di Kuala Kangsar ke kampung mereka di Changkat Petai, Tapah Road.
Kemalangan berlaku apabila kereta jenis Proton Saga dipandu Muhammad Azib melanggar belakang sebuah lori muatan pasir dipandu lelaki berusia 25 tahun.
Pelanggaran itu mengakibatkan Azriyani dan tiga anaknya, Muhammad Azib; Siti Nur Aminah dan Ahmad Uwais Al Qorni cedera parah di kepala dan maut di tempat kejadian. Mayat kesemua mereka dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat.
Seorang lagi anak Azriyani, Muhammad Fawwaz berusia tujuh tahun pula meninggal dunia pada pukul 9.20 pagi ketika mendapat rawatan di Hospital Tapah.
Selain suami, Nasaruddin Abu Bakar, 53 tahun, Azriyani meninggalkan empat anak yang lain iaitu Ahmad Danish Basyir; 16; Ahmad Hazim Zuhdi, 21; Muhammad Ilham, 20, dan Siti Nur Khadijah ,14 tahun. – UTUSAN








