Akhir Jun lalu, pelakon Mawar Rashid pernah membuat laporan polis mengenai kerugiannya setelah ditipu oleh seorang wanita yang dikenali.
![]() |
|
MAWAR RASHID
|
Membabitkan soal bayaran komitmen kerja sebanyak RM15,000, Mawar yang sebelum ini membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Baru Subang, Petaling Jaya bagaimanapun melahirkan rasa lega kerana tuntutan itu telah diterimanya sekitar awal bulan lalu.
Mengaku niatnya bukan mahu mengaibkan, tetapi apa yang dipertahankan adalah hak sebagai seorang individu setelah penat lelah bekerja namun tidak menerima bayaran sepatutnya.
Pun begitu, meski sudah menerima duit bayaran yang membabitkan iklan makanan segera itu, ia tidak bermakna dia sudah tidak perlu bimbang andai kejadian yang sama berulang kembali.
“Selepas laporan polis dibuat dan cerita itu menjadi tular di media sosial, wanita itu kemudiannya terus membayar duit tersebut.
“Itu pun selepas saya menghubunginya. Bukan untuk menggertak tetapi dengan bahasa yang baik, saya beritahu dia supaya dia segera buat bayaran yang dijanjikan.
“Saya akui ada memberi amaran tetapi dengan cara yang baik. Andai dia tidak membuat bayaran itu sebagaimana yang dijanjikan, saya tidak akan teragak-agak mendedahkan wajah dan maklumatnya buat tatapan umum,”katanya.
Menurut pelakon yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan ini, tujuan utama dia mahu mendedahkan maklumat wanita itu agar tidak ada lagi mana-mana pihak terpedaya atau teraniaya dengan penipuan individu tersebut.
“Pada awalnya saya beri peluang bukan bermaksud takut untuk ambil tindakan. Tetapi kerana mahu memberikan dia masa untuk menyelesaikan sebarang masalah yang mungkin dia sedang hadapi.
“Sepatutnya sebelum dia buat apa-apa kepada orang, dia perlu fikir apa impak pada diri dan keluarganya. Saya pun tak nak dia buat perkara yang sama kepada orang lain terutama rakan-rakan artis.
“Sebelum kawan-kawan lain terkena dengan dia, diharapkan apa yang berlaku kepada saya ini menjadi peringatan,”katanya.
Bersyukur kerana segalanya dipermudahkan, Mawar mendedahkan dia ada mendengar terdapat beberapa pelakon lain yang masih belum menerima bayaran daripada wanita tersebut.
Antara artis yang menjadi mangsa wanita tersebut ialah Raja Ilya, Chacha Maembong dan Izzue Islam.
Menurut pelakon ini, adakala walau langkahnya berada dalam garisan waspada, andai ditakdirkan mahu terkena, maka dia sebagai manusia juga tidak dapat mengelak.
“Kerja sebagai artis dan selebriti ni memang membuatkan kita sentiasa terdedah menjalin usahasama dengan banyak orang-orang baharu.
“Jadi selepas ini, saya sudah tahu apa yang perlu dilakukan andai perkara seperti ini berlaku lagi dan paling penting kena sentiasa memastikan segala perbincangan dilakukan secara profesional dan didokumenkan,”katanya.











