Mat rempit dibawa ke masjid menunaikan solat - Utusan Malaysia

Mat rempit dibawa ke masjid menunaikan solat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN 27 Julai – Seramai 79 mat rempit yang ditahan kerana lumba haram diberikan  tazkirah dan dibawa menunaikan solat subuh berjemaah serta membaca Yasin di Masjid Sultan Ahmad Shah, di sini pagi tadi.

Selain tindakan undang-undang, ia sebagai satu pendekatan bagi menyedarkan mereka tentang perlakuan buruk seakan menempah maut bagi diri sendiri dan mengancam nyawa orang lain serta menyimpang dari agama.

Mereka ditahan dalam Ops Bersepadu Samseng Jalanan Daerah Kemaman yang dilakukan oleh Bahagian Siasatan dan penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman.

Ketua Polis Daerah, Superitendan Mohd Said Ibrahim berkata, operasi yang bermula pukul 11 malam semalam diadakan berikutan aduan dari orang ramai berkenaan kegiatan lumba haram yang makin membimbangkan.

Menurut Mohd Said, seramai 41 orang anggota polis termasuk 4 pegawai telah terlibat dalam operasi tersebut dan sasaran laluan ialah di sepanjang Jalan Cukai-Air Putih.

“Mereka yang ditahan termasuk kalangan pelajar dan pekerja swasta yang berusia lingkungan 15 hingga 30 tahun.

“Mereka sering menjadikan hari Khamis sebagai hari untuk berkumpul bersama rakan – rakan dan seterusnya melakukan aksi merbahaya di jalan raya sebelum berlumba,” katanya, di sini hari ini.

Menurut Mohd Said, antara kesalahan yang dilakukan ialah menunggang motosikal secara merbahaya, tidak mempunyai lesen memandu yang sah, cukai jalan yang tamat tempoh dan tiada cermin pandang belakang.

Mohd Said berkata, mereka yang ditahan terdahulunya telah di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah untuk di ambil keterangan sebelum kesemuanya dibawa ke masjid. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN