CHIANG MAI (Thailand) 31 Julai – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengingatkan semua bahawa masjid adalah lambang ataupun imej umat Islam.
Oleh itu, kita sebagai umat Islam perlu sama-sama menjaga kemakmuran masjid dengan sentiasa hadir solat jemaah, kelas-kelas ilmu, serta menjaga kebersihan masjid termasuklah tandas dan keceriaan.
Baginda bertitah selepas berkenan berangkat singgah bagi menyerahkan sumbangan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada Masjid Attaqwa yang terletak di Chiang Mai, Thailand hujung minggu yang lalu.
Sumbangan MAIPs bagi tujuan untuk kegunaan aktiviti dakwah, pengajian dan kemasyarakatan masjid berkenaan diterima oleh Pemangku Imam, Ustaz Mohamad Taun yang berkelulusan agama dari universiti di Madinah, Arab Saudi.
Berangkat sama anakanda bongsu baginda Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.
Hadir sama mengiringi baginda ialah Ahli Lembaga Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis yang juga merangkap Presiden Persatuan Woodball Negeri Perlis (PWNPs), Prof Datuk Dr. Kamarudin Hussin.
Baginda yang juga merangkap Yang Dipertua MAIPs turut menambah bahawa peranan masjid juga adalah sebagai pusat perpaduan yang menyatukan dan melindungi masyarakat.
Tuanku Syed Faizuddin Putra berangkat ke Chiang Mai di atas undangan Persatuan Woodball Malaysia (MWA) bagi menghadiri Kejohanan Woodball Piala Dunia (WCWC) ke 8 di Chiang Dao yang terletak kira-kira 70km perjalanan darat daripada bandar Chiang Mai.











