KUALA TERENGGANU 13 Julai – Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun putus lengan kiri selepas bajunya tersangkut pada rim tayar ketika membonceng motosikal di Kampung Binjai Bongkok, Marang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, mangsa, Nur Zulaikha Khumaira Zulkifli dari Kampung Tebakang hanya mengadu sakit dan langsung tidak menangis biarpun turut mengalami beberapa luka di kepala dan kaki.
Difahamkan murid tahun satu Sekolah Kebangsaan Tasek, Marang ini memakai baju sejuk bersaiz besar milik ibunya sebelum pakaian berkenaan terbelit pada rim motosikal jenis Honda Wave yang ditunggangi kakak sepupunya semasa mereka dalam perjalanan ke rumah penghulu kampung yang terletak berhampiran.
Kakak saudaranya, Noor Aina Hananie Rezali, 18, berkata, dia bersama mangsa dan adik kanak-kanak itu mahu ke rumah penghulu bagi mendapatkan cop pengesahan untuk permohonan pembiayaan pendidikan Yayasan Terengganu (YT) bagi menyambung pelajaran ke sebuah institusi pengajian tinggi swasta di negeri ini.
Bagaimanapun, katanya, ketika menghampiri destinasi, dia sudah tidak lagi mendengar suara adik saudaranya malah motosikal ditunggangi tiba-tiba menjadi perlahan sebelum menyedari mangsa sudah terjatuh.
“Saya cuba menolak motosikal ke tepi jalan. Masa itu adik mangsa masih ada di atas (motosikal).
“Saya turun pada motosikal dan nampak tangan Khumaira terlekat pada rim, saya menggeletar tengok darah banyak sangat. Masa itu Khumaira sedar tetapi langsung tidak menangis sebaliknya cuma kata sakit,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini.
Menurut Noor Aina Hananie, cemas dengan keadaan itu, dia segera menghubungi ibu mangsa, Rohidayu Siup @ Yusof, 29, yang berada di rumah dan mendapat bantuan penduduk kampung.
Nur Zulaikha Khumaira kemudian dibawa ke klinik kesihatan berdekatan sebelum dihantar ke HSNZ bagi menjalani pembedahan tangan kira-kira pukul 3 pagi ini.
Difahamkan, pembedahan lebih tiga jam itu tidak berjaya menyambung lengannya ekoran keadaan kecederaan yang teruk.
Sementara itu, Rohidayu berkata, walaupun keluarga masih terkejut dengan kejadian menimpa mangsa tetapi anak sulungnya itu merupakan kanak-kanak yang kuat semangat kerana langsung tidak menangis seolah-olah sudah boleh menerima hakikat lengan kirinya kudung.
Menurutnya, baju sejuknya itu memang sering digunakan ketika menunggang dan dia sendiri pelik melihat anaknya bersungguh-sungguh mahu memakai pakaiannya itu buat kali pertama malam tadi, walaupun sudah dilarang.
“Pagi tadi suami cerita yang kakak (Nur Zulaikha Khumaira) tanya mana tangan palsu dia. Sebak saya dengar sebab kita hendak beritahu kepada dia pun kita takut tetapi dia sendiri boleh tahu hakikatnya. Dia kata kakak kena kuat sebab kakak anak yang baik.
“Dia memang anak yang kuat sejak dari kecil. Doktor pun kata dia kuat sebab kalau budak lain mungkin tidak boleh menerima apabila lihat keadaan diri mereka jadi sebegini,” katanya.











