MESKIPUN pasukan sepak takraw negara berada dalam situasi tidak menentu ketika ini, namun Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia 2018, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi menegaskan, mereka tidak akan menarik diri daripada temasya tersebut.
Skuad sepak takraw negara berdepan masalah berhubung acara yang akan disertai selepas Jawatankuasa Penganjuran Sukan Asia Indonesia (INASGOC) kekal dengan keputusan hanya membenarkan Malaysia beraksi dalam acara regu dan regu berpasukan.
Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) sudah mengemukakan rayuan untuk menghantar wakil dalam acara regu berpasukan, namun jawatankuasa penganjur tetap dengan keputusan tersebut, selain tidak melakukan sebarang perubahan dalam jadual pertandingan.
Walaupun berdepan dengan dugaan tersebut, namun Azim menegaskan, pihaknya bersama Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sedia mencari jalan penyelesaian terbaik biarpun perlu melalui banyak proses sebelum temasya tersebut bermula bulan depan.
Pada masa sama, beliau juga sudah menghubungi Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail berhubung dakwaan bahawa skuad sepak takraw negara sedia menarik diri sekiranya permohonan untuk beraksi dalam acara regu berpasukan tidak diluluskan.
“Saya ada hubungi Tok Mat (Ahmad) untuk bertanya mengenai perkara ini (tarik diri), namun beliau menafikannya. Pada dasarnya, beliau hanya menggertak untuk menarik diri tetapi masih boleh melakukan rayuan.
“Selain itu, Presiden Persatuan Sepak Takraw Indonesia (PSTI) juga akan datang ke Kuala Lumpur bagi membincangkan perkara ini bersama dengan saya serta Presiden dan Setiausaha MOM,” katanya pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam.
Ujarnya, sekiranya pertemuan dengan Presiden PSTI tidak membuahkan hasil, mereka akan membawa perkara itu ke panel timbang tara yang diwujudkan sebelum sesuatu temasya berlangsung.
“Kebiasaannya, panel timbang tara akan diwujudkan bagi meneliti rayuan-rayuan yang dilakukan pada saat akhir. Jika perjumpaan dengan Presiden PSTI menemui jalan buntu, kita akan bawa perkara ini ke panel timbang tara,” tambah beliau.
Azim yang juga bekas Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN) menegaskan, pihaknya tidak melakukan sebarang kesilapan berhubung isu terbabit selain menggesa semua pihak memberikan sokongan bagi menyelesaikan masalah itu.
“Saya tidak rasa kami silap isi borang biarpun pihak penganjur mendakwa kita silap. Jika kita saling mendakwa satu sama lain, masalah ini tidak akan selesai. Bagi saya, lebih elok cari jalan bagi membolehkan skuad sepak takraw Malaysia menyertai acara yang dimahukan,” ujarnya.









