Malaysia perintis prapelepasan jemaah haji - Utusan Malaysia

Malaysia perintis prapelepasan jemaah haji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 13 Julai – Malaysia diberi penghormatan tinggi oleh kerajaan Arab Saudi apabila dipilih sebagai negara perintis untuk melaksanakan proses prapelepasan jemaah haji mulai tahun ini.

Proses prapelepasan itu merupakan inisiatif Arab Saudi de­ngan kerjasama Lembaga Tabung Haji (TH) bagi mengurangkan masa menunggu jemaah haji di Terminal Haji di Jeddah dan Madinah.

Dengan inisiatif itu, beberapa proses yang biasanya dibuat di Arab Saudi, akan dilaksanakan lebih awal di semua stesen berlepas di tanah air.

Menurut Pengurus Besar Ka­nan Jabatan Haji merangkap Ke­tua Rombongan Haji Malaysia 1439 Hijrah, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, proses prapelepasan tersebut bermula semasa jemaah haji melapor diri di stesen berlepas.

Jelas beliau, semua jemaah haji akan menjalani proses imbasan 10 jari dan pengambilan gambar muka yang dikendalikan oleh wakil Kementerian Luar Arab Saudi.

Tambahnya, sebaik sahaja tiba di Terminal Haji Arab Saudi, jemaah haji akan melalui kaunter pemeriksaan Imigresen (fast track) dan terus keluar untuk menaiki bas ke bangunan penginapan tanpa perlu mengambil ba­gasi masing-ma­sing.

“Bagasi jemaah haji akan diuruskan oleh pihak Wakil Bersatu (wakil Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi). Semua bagasi jemaah haji akan diimbas oleh Kastam Arab Saudi.

“Seterusnya bagasi akan dibawa dari Terminal Haji ke bangunan penginapan jemaah haji untuk dise­rahkan ke bilik-bilik penginapan jemaah haji dengan pengawasan petugas TH dan Muassasah Asia Tenggara,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Syed Saleh berkata, projek perintis tersebut melibatkan pelbagai pihak dari Arab Saudi seperti Kementerian Luar, Imigresen, Kementerian Haji dan Umrah serta United Agent.

Manakala di Malaysia, ia melibatkan TH, Jabatan Imigresen dan Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur.

“Proses prapelepasan ini akan memudahkan dan mempercepatkan urusan pemeriksaan semasa ketibaan para jemaah haji yang menaiki penerbangan carter haji di Terminal Haji Arab Saudi kerana semua jemaah haji telah menjalani proses ini semasa di tanah air lagi.

“Pada musim haji kali ini, sebanyak 81 penerbangan carter haji yang menggunakan syarikat pe­nerbangan Malaysia Airlines Bhd. (MAB) dan syarikat penerbangan dari Arab Saudi, Flynas disediakan untuk membawa semua jemaah haji ke tanah suci,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan para jemaah haji supaya menjaga kesihatan diri sepanjang berada di tanah suci kerana pada tahun ini, cuaca dijangka agak panas, mencecah hampir 50 darjah celsius.

“Sehubungan itu, para jemaah haji tidak boleh terlalu terdedah kepada cuaca di luar dan dinasihatkan untuk minum air dengan banyak selain digalakkan untuk keluar secara berkumpulan,” nasihat beliau.

Jika tidak sihat, kata Syed Saleh, para jemaah perlu segera ke klinik dan berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan.

“Para jemaah juga perlu sentiasa memakai kad pengenalan diri yang dibekalkan oleh TH dan sekiranya tersasar atau menghadapi sebarang masalah, terus berhubung dengan para petugas TH yang ada di bangunan-bangunan penginapan untuk bantuan.

“Sekiranya terdapat sebarang kemusykilan berkaitan ibadat, jangan malu untuk bertanya dengan pembimbing ibadat yang disediakan agar amalan yang dilakukan adalah betul dan tidak menjejaskan perjalanan ibadat haji masing-masing,” nasihat beliau lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN