Malaysia dalam keresahan - Utusan Malaysia

Malaysia dalam keresahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 13 Julai – Serangan penyokong Indonesia terhadap skuad bola sepak negara pada Kejohanan Bawah 19 tahun AFF (Persekutuan Bola Sepak ASEAN) semalam mencetus kebimbangan buat kontinjen Malaysia yang bakal beraksi dalam Sukan Asia, bulan depan.

Biarpun tidak bercadang membawa pasukan ke­selamatan sendiri untuk melin­dungi atlet yang bakal bertanding di Jakarta dan Palembang sepanjang 18 Ogos hingga 2 September, namun Malaysia mahu panganjur meningkatkan keselamatan, terutama dalam pertembungan melibatkan negara tuan rumah.

Semalam, kejayaan skuad B-19 negara ke final Kejohanan AFF dicemari keganasan penyokong Indonesia yang tidak ber­puas hati dengan kekalahan tuan rumah pada separuh akhir di Stadium Delta Sidoarjo, Surabaya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami akan berjumpa pihak ke­selamatan tempatan bagi mendapatkan cadangan dan pandangan untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

“Bagaimanapun saya tidak fikir ada keperluan untuk kontinjen negara membawa pasukan keselamatan sendiri bagi mengawal keselamatan atlet kita nanti.

“Kita harus meletakkan kepercayaan kepada pihak keselamatan Indonesia yang sebelum ini sudah memberi jaminan bakal meningkatkan keselamatan ke tahap tertinggi,” kata Ke­tua Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia 2018, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi kepada Utusan Malaysia.

Lebih 26,000 penyokong Indonesia di Stadium Delta Sidoarjo semalam sukar menerima kekalahan pa­sukan mereka menerusi penentuan sepakan penalti 3-2 setelah perlawanan terikat 1-1.

Mereka kemudian bertindak ganas dengan membaling botol air dan batu ke arah pasukan Malaysia sejurus tamat permainan.

Sementara itu, Abdul Azim berkata, beliau percaya, insiden seperti itu hanya berlaku dalam sukan ‘panas’ seperti bola sepak berbanding acara lain.

“Dalam sukan lain seperti renang, olahraga, hoki atau ragbi mungkin tiada reaksi penonton seperti itu.

“Sukan Asia melibatkan pe­nyertaan banyak negara-negara Asia lain dan pastinya pihak ke­selamatan akan dikerah sepenuh­nya bagi memastikan insiden yang melibatkan pasukan bola sepak B-19 semalam tidak berulang,” katanya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×