DAERAH Hunan di selatan China sememangnya cukup terkenal dengan menu-menu masakan yang pedas dan enak.
Berbeza dengan penduduk di daerah lain di China, penduduk Hunan cukup menggilai menu pedas seperti ayam dong’an iaitu menu ayam yang dikukus bersama cili, cuka dan halia serta satu lagi hidangan popular Hunan iaitu ayam kering yang dimasak dalam periuk tanah.
Minggu lalu, penduduk di bandar Ningxiang, Hunan berkumpul beramai-ramai untuk melihat gelagat peserta yang menyertai pertandingan memakan cili yang merupakan pertandingan tahunan di daerah itu.
Selain perlu memakan cili dalam kuantiti paling banyak dalam tempoh satu minit, peserta juga perlu berendam dalam satu kolah air yang dipenuhi cili.
Suhu di Hunan Isnin lalu mencecah 40 darjah Celsius dan ini menjadikan pertandingan tersebut lebih mencabar.
Cili tabasco
Menurut salah seorang peserta yang hanya mahu dikenali sebagai Minying, memakan cili jenis tabasco sambil tubuh direndam dalam air yang dipenuhi cili merupakan sesuatu yang cukup sukar.
“Untuk dinobatkan sebagai pemenang, kesemua peserta perlu makan sebanyak mungkin cili tabasco sambil berendam dalam ‘lautan’ cili dalam tempoh seminit.
“Pada asalnya, berpuluh-puluh orang peserta mendaftarkan diri dan menyertai pertandingan ini.
“Bagaimanapun, selepas beberapa minit, ada peserta yang mula pulang memandangkan mereka sudah tidak tahan dengan kepedasan serta cuaca panas,” ujarnya.
Melalui beberapa keping foto yang dimuat naik laman web Mail Online, kelihatan beberapa peserta mula berpeluh sebaik sahaja tubuh mereka direndam dalam bekas yang dipenuhi cili.
Memandangkan pertandingan tersebut dianggap agak berbahaya, penganjur meletakkan beberapa orang pakar perubatan yang bertugas sepanjang pertandingan.
Hadiah emas
Pemenang cabaran tersebut, Tang Shuaihui membawa pulang syiling emas 24 karat seberat tiga gram.
Lelaki tersebut berjaya memakan sebanyak 50 biji cili dalam tempoh 68 saat.
Lebih menarik, kepantasan Shuaihui memakan cili-cili tersebut agak mengejutkan memandangkan dia berjaya menghabiskan kesemua cili yang ada di dalam pinggannya sebelum pengacara majlis habis bercakap.
Dia juga berjaya mencipta rekod baharu, menewaskan pemenang tahun lalu yang hanya dikenali sebagai Su.
Su muncul juara selepas memakan 15 biji cili dalam tempoh satu minit.
Selain pertandingan memakan cili, peserta juga boleh menguji stamina dan ketahanan diri dengan berendam dalam besen yang dipenuhi cili jenis tabasco.
Cili tabasco dipilih bagi cabaran tersebut kerana ia tidak begitu memedihkan kulit jika dibandingkan dengan dua jenis cili lain seperti habanero dan jalapeno.










