MAIWP rai Syawal bersama asnaf - Utusan Malaysia

MAIWP rai Syawal bersama asnaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 3 Julai – Seramai kira-kira 350 orang asnaf diraikan dalam Majlis Semarak Syawal Bersama Asnaf anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang diadakan di Pusat Komuniti Setiawangsa di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Abdul Aziz Jusoh berkata, hasil usaha MAIWP menyantuni golongan asnaf dari pelbagai latar belakang, kini telah ramai golongan tersebut yang berjaya keluar dari kepompong kemiskinan dan mencapai kejayaan dalam bidang yang diceburi mereka.

“Sebenarnya sudah ramai di luar sana yang berjaya keluar daripada status asnaf, namun hari ini kami menonjolkan lima tokoh yang berjaya dalam pendidikan dan perniagaan untuk dijadikan contoh buat semua.

“Kejayaan ini sekali gus menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa MAIWP gagal menyantuni golongan asnaf sebaiknya, terutamanya golongan pelajar kerana kita dapat lihat bagaimana penerima anugerah hari ini mendapat tajaan daripada MAIWP untuk melanjutkan pelajaran sehingga ke luar negara dan berjaya menjadi doktor perubatan,” katanya ketika ditemui dalam majlis tersebut di sini, hari ini.

Yang turut hadir, pegawai khas Ahli Parlimen Setiawangsa, Zulkifli Yusof fan Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Insan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Paimuzi Yahya.

Selain daripada jamuan makan dan pemberian cenderahati, majlis turut diserikan dengan penyampaian Anugerah Tokoh Baitulmal kepada lima orang penerima, masing-masing dua untuk kategori akademik dan tiga untuk kategori usahawan.

Penerima anugerah Tokoh Akademik Baitulmal ialah doktor perubatan, Syed Ahmad Ziman Syed Ja’afar, 26, dan jurutera tapak, Muhammad Khir Tajul Ariffin, 28, manakala penerima anugerah Tokoh Usahawan Baitulmal terdiri daripada pengusaha gerai masakan panas, Suria Lokman, 46, pengusaha produk makanan, Razali Talib, 43, dan pengusaha ais krim, Siti Fatimah Hussin, 58. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN