KEMBOJA mematikan panggilan telefon. Sebak jiwanya setelah mendapat berita yang sentiasa dinanti-nantikan saban tahun. Seluruh alam seolah-olah turut meraikan kegembiraan itu bersama-sama. Langit redup dengan tiupan angin sepoi-sepoi bahasa melagukan rasa syukur yang membuak-buak. Sudah berkali-kali Kemboja menyeka air mata yang mengalir, berkali-kali jugalah terbitnya kembali tanpa henti. Allah sudah memakbulkan doa Kemboja, impian dan harapan yang dipanjatkan sekudus-kudusnya kepada Pencipta yang Maha Mendengar.
Lirikan senyum masih bersisa pada wajah berusia Kemboja seusai melakukan sujud syukur. Bola matanya dihalakan ke arah sekeping bingkai gambar yang diletakkan di atas meja kecil di tepi katil. Terpampang wajah kebahagiaan sepasang suami isteri bersama empat orang anak teruna mereka yang masih kecil. Foto hitam putih itu masih elok, menjadi kenangan yang sentiasa mengubat kerinduan Kemboja kepada gemulah Hassan, suaminya yang sudah lama pergi, meninggalkannya menjadi ibu tunggal dalam membesarkan anak-anaknya. Kemboja hanya memejamkan mata dalam senyuman, membiarkan memori berputar dalam benak fikirannya.
“Alhamdulillah, anak lelaki lagi Hassan. Nah, kamu azankan anak kamu ni,” bidan Melur menyuakan bayi yang baru lahir itu kepada Hassan. Hassan menyambutnya dengan penuh kasih sayang, didukung dengan kelembutan dan diazankan sepenuh-penuh rasa syukur. Kemboja masih terbaring, menenangkan diri setelah kepenatan berjihad melahirkan bayi itu.
“Beruntunglah kamu Hassan, Kemboja. Keempat-empat anak kamu teruna. Besar nanti, dapatlah mereka membantu kamu dengan kudrat mereka. Tak perlu lagi kamu berpenat-penat bekerja,” ujar Bidan Melur sebelum pulang pada malam itu. Hassan hanya mengangguk sambil mengaminkan doa yang disebut oleh bidan Melur.
Rezeki keluarga mereka, mendapat anak-anak lelaki yang kelak bakal menjadi imam dan pemimpin yang disegani. Cuma sayangnya, Hassan tidak sempat melihat kejayaan anak-anaknya. Dia telah dijumpai kaku tidak bernyawa oleh orang kampung di ladang getah tempatnya menoreh mencari rezeki. Melalui kesan luka pada tubuhnya, dia dipercayai telah dibaham harimau sewaktu menoreh getah pada subuh hari itu. Mujur sahaja jasadnya ditinggalkan walaupun dalam keadaan yang cukup mengerikan. Kemboja pasrah dengan takdir, malah sentiasa percaya akan hikmah dalam setiap perkara yang Allah sudah tentukan buat keluarganya.
Kini Along menjadi pegawai korporat di Kuala Lumpur. Along berkahwin dengan Siti Aminah, seorang doktor lulusan dari luar negara. Angah pula bekerja sebagai pensyarah di sebuah universiti di utara, Universiti Utara Malaysia. Angah juga sudah berkahwin, isterinya seorang pensyarah dari universiti yang sama. Achik lebih gemarkan cabaran, sebab itu dia menjadi usahawan berjaya. Kerap kali wajahnya terlihat dalam televisyen mempromosikan produk dan jualannya. Isteri Achik orang pantai timur, dari negeri Che Siti Wan Kembang. Acu sahaja yang belum berkahwin. Acu tinggal bersama Kemboja sejak kecil. Selepas mendapat keputusan SPM, Acu tidak mahu belajar lagi. Dia selesa mewarisi kerja kampung ayahnya, menoreh getah walaupun gajinya tidak seberapa. Sudah berkali-kali Kemboja memujuk Acu supaya belajar lagi untuk menjadi orang berjaya seperti abang-abangnya, tetapi Acu menolak. Katanya, kalau dia pergi jauh tiada orang yang akan menjaga Kemboja di rumah. Biarlah dia berkorban demi Kemboja dan gemulah Hassan.
“Acu, siang tadi mak dapat panggilan telefon. Allah makbulkan doa mak, doa Acu. Allah jemput mak ke Tanah Haram,” suara lembut Kemboja menyentakkan perhatian Acu. Dia yang sedang menjamah nasi berlaukkan singgang dan ulam raja terhenti.
“Betulkah? Alhamdulillah, mak! Allah makbulkan doa kita. Hajat mak tertunai,” mata Acu disinari keterujaan. Betapa gembiranya Acu apabila melihat Kemboja begitu riang dengan berita yang diperolehnya itu. Dia tahu, sesiapa sahaja pasti mahu ke sana sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Itulah hajat yang perlu sentiasa diselitkan dalam doa seharian. Kadang-kala, walaupun ada harta dan duit yang banyak, kalau tidak dijemput Allah pasti tidak akan sampai ke sana.
“Berkat duit simpanan mak, jualan pulut panggang dan kuih ketayap setiap hari, akhirnya duit mak cukup, dapat rezeki hendak ke sana sebelum mak pejamkan mata dan mengikut jejak ayah,” tiba-tiba suara Kemboja serak. Kemboja sebak dalam pertuturannya, lalu tertumpah air matanya lagi. Acu lantas merenjis-renjis nasi pada tangannya dan terus merapati Kemboja. Dipeluk erat tubuh Kemboja.
“Mak jangan sedih. Mak sepatutnya gembira dengan rezeki ni mak. Acu ada, Acu sentiasa doakan kesejahteraan mak. Ajal dan maut rahsia Allah,” Acu cuba memujuk. Dia sentiasa menjadi pengubat lara Kemboja ketika anak-anak lain sibuk berjuang di medan pekerjaan masing-masing.
Berita tentang Kemboja bakal menunaikan haji cepat sahaja tersebar kepada penduduk kampung. Ramai yang menyatakan hasrat mahu bersama-sama menghantar Kemboja ke lapangan terbang nanti. Pak Deraman awal-awal lagi sudah memaklumkan mahu menyedekahkan seekor lembu untuk dibuat kenduri doa selamat sebelum Kemboja berangkat. Melah Patin, Asmah Tempoyak, Zaiton Belacan pula sudah menawarkan diri untuk membantu urusan memasak. Haji Koh dengan Bilal Rosman pula sudah bersedia untuk urusan jemputan penduduk kampung. Masing-masing begitu teruja dengan berita tersebut. Malah mereka tidak pernah berkira untuk meraikan Kemboja yang bakal ke Tanah Haram itu nanti. Kemboja sudah berkali-kali menolak, tetapi mereka tetap mahu menyumbangkan itu dan ini.
“Kamu kena bawa seorang mahram ke sana nanti, Kemboja. Itu syarat yang perlu dipatuhi oleh jemaah wanita Malaysia. Peraturan itu demi menjaga keselamatan diri kamu di sana nanti,” Maklong Bedah berbasa-basi semasa melawat Kemboja.
“Aku tahu. Aku cuma belum tahu siapa yang boleh temankan aku. Along tak dapat bercuti lama, banyak urusan katanya. Angah belum bersedia, lagipun isteri dia baru sahaja melahirkan anak. Achik pula, sudah menempah tiket percutian ke London dengan keluarganya. Tak mungkin dia nak bazirkan tiket itu. Acu saja yang ada sekarang. Cuma aku faham, Acu tengah kumpul duit untuk berkahwin. Dah lama dia kumpul. Kalau duit yang dikumpulkan itu, campur sedikit dengan duit aku, cukuplah dia pergi juga. Kasihan pula dia. Aku tak mahu membebankan anak-anak aku,” Kemboja cuba mengadu. Dalam kegembiraannya, masih terselit kegusaran yang tidak dapat dielakkan.
“Berdoa banyak-banyak. Kau boleh pujuk Acu tangguhkan hajatnya dahulu. Lagipun dia yang paling banyak berjasa menjaga kau. Insya-Allah pengorbanan dia akan diberkati kalau dia bersetuju menjadi mahram yang temankan kau ke sana,” cadangan Maklong Bedah ada benarnya. Hanya Acu harapan yang Kemboja ada dan jika benar Acu akan menemani dirinya, betapa bertuahnya Acu dapat menjadi tetamu Allah pada usia yang masih muda.
“Nantilah aku usahakan,” Kemboja menjawab acuh tidak acuh. Pisang goreng yang terhidang disuakan ke dalam mulut, dikunyah perlahan-lahan seperti tiada rasa.
Suasana di balai pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas begitu sesak dengan sanak-saudara, sahabat handai, kenalan dan orang awam yang menghantar jemaah haji untuk ke Mekah. Kemboja sudah siap bertelekung putih, dengan penuh bersemangat menanti masa untuk berlepas ke Tanah Suci. Mulutnya basah dengan selawat dan zikir bagi mendapatkan ketenangan dalam jiwanya. Kemelut hatinya tentang penemannya juga dipermudahkan Allah setelah berkali-kali Kemboja memohon petunjuk melalui solat istikharahnya. Pada saat ini, Kemboja mahu memasakkan hatinya pada jalan Allah semata-mata tanpa memikirkan dunia lagi.
Tangan Kemboja dirangkul, dipimpin oleh Achik yang juga sudah siap dalam pakaian ihramnya. Dalam senyuman dan keredaan, mereka melambai dengan rasa sebak dan terharu. Di hadapan mereka, ada Along, Angah, Acu dan seluruh insan mulia yang sudi menghantarnya pada hari itu. Hanya satu yang Kemboja dambakan, haji mabrur buat dirinya, Achik dan seluruh jemaah yang bakal bersama-sama berpijak di Tanah Haram nanti. Amin.









