MAA : Sekatan bantutkan industri automotif - Utusan Malaysia

MAA : Sekatan bantutkan industri automotif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 30 Julai – Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menyifatkan hasrat kerajaan untuk meletakkan syarat tertentu ke atas pembuat kereta asing akan membantutkan industri automotif negara.

Presiden MMA, Datuk Aishah Ahmad berkata, walaupun tindakan itu demi melindungi kepen­tingan dua pembuat kereta kebangsaan, terutamanya Proton Holdings Bhd. (Proton) dan Perusahaan Otomobil Kedua Sendirian Berhad (Perodua), ia dianggap satu langkah regresif bagi industri berkenaan.

“Sebenarnya, langkah liberali­sasi merupakan cara terbaik untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara terutama dalam sektor automotif.

“Contohnya seperti (yang diamalkan) di Thailand dan Indonesia, kedua-dua negara itu mempunyai pasaran automotif sangat terbuka, malah melalui cara itu industri mereka semakin berkembang pesat,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan yang dipengerusikan Tun Daim Zainuddin di Menara Ilham, di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini yang mengatakan bahawa punca utama kegagalan industri automatif tempatan adalah berikutan dasar kerajaan yang terlalu terbuka dengan membenarkan kenderaan dari luar negara dibawa masuk tanpa sebarang sekatan atau syarat. 
Kata Perdana Menteri, keadaan itu menyebabkan prestasi Proton merosot kerana terpaksa bersaing dengan kereta import daripada syarikat gergasi lain.

Aishah berkata, sesebuah kenderaan dari mana-mana jenama dianggap sebagai kende­raan tempatan jika pemasangannya dilakukan di negara terbabit.

“Walaupun kita bercakap mengenai kereta asing tetapi mereka sudah banyak melakukan pemasangan tempatan contohnya Honda, kandungan tempatannya adalah sebanyak 70 peratus hingga 80 peratus dan mereka tidak boleh dianggap kereta luar kerana kan­dungan tempatannya tinggi selain dipasang di negara ini,” katanya.

Menurutnya, sejak Malaysia memulakan projek kereta nasional, eksport tahunan hanya mencapai 20,000 hingga 30,000 unit kenderaan sahaja sekali gus ia dilihat bukan situasi yang baik dalam industri eksport negara.

Berbanding Thailand katanya, negara tersebut mengeksport kenderaan lebih 1.3 juta ke luar negara manakala Indonesia menghasilkan lebih 100,000 unit kenderaan setahun untuk pasaran global.

“Proton bukan lagi dimiliki kerajaan dan ia menjadi medan persaingan setara dan semua (pembuat kereta) sepatutnya mendapat layanan sama.

“Kini, sektor automotif negara menggaji seramai 710,000 pekerja dalam bidang pembuatan kereta. Sektor automotif menyumbang RM6 bilion dalam bentuk cukai setahun kepada sektor ekonomi negara,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN