SHAH ALAM 30 Julai – Naib Presiden DAP, M. Kula Segaran dituntut supaya melepaskan jawatannya sebagai Menteri Sumber Manusia kerana didakwa bertanggungjawab mencetuskan provokasi kaum sekaligus gagal menghormati asas serta prinsip yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.
Tuntutan itu ditegaskan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Selangor, Rizam Ismail ekoran tindakan Kula Segaran yang mendakwa orang Melayu di negara ini merupakan golongan pendatang.
Menurutnya, Kula Segaran sepatutnya malu sekiranya benar mengeluarkan kenyataan sedemikian apatah lagi dalam keadaan beliau memegang amanah rakyat sebagai menteri Kabinet dalam Kerajaan Persekutuan.
“Justeru, adalah lebih baik beliau meletak jawatan sebagai menteri. Rakyat Malaysia tidak perlu seorang menteri yang biadap, tidak menghormati sensitiviti kaum serta gagal memahami sejarah negara.
“Malah, beliau tidak layak pun menjadi seorang menteri,” katanya kepada pemberita sambil ditemani kira-kira 100 ahli Pergerakan Pemuda UMNO sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini hari ini.
Minggu lalu, ucapan Kula Segaran di dalam bahasa Tamil pada satu program di Nilai, Negeri Sembilan menjadi tular di media sosial Youtube.
Dalam ucapannya itu, Kula Segaran mendakwa orang Melayu merupakan golongan pendatang di negara ini sementara penduduk asal merupakan penganut agama Hindu berdasarkan semua bukti yang terdapat di Lembah Bujang, Kedah di mana banyak kuil ditemukan di sana.
Pada masa sama, Rizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar itu mendesak pihak berkuasa menyiasat serta mengambil tindakan tegas terhadap Kula Segaran memandangkan ucapannya didakwa bersifat menghasut.
Tindakan tegas di bawah undang-undang itu jelasnya tidak boleh dipandang ringan memandangkan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Abdullah Zaik Abd. Rahman pada 30 Ogos 2016 dikenakan denda oleh mahkamah di bawah Sekyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 kerana menerbitkan artikel bertajuk ‘kedatangan pendatang Cina bersama penjajah British satu bentuk pencerobohan’ menerusi laman web pertubuhan itu.
“Maka, kita mahu perkara ini tidak bias. Pihak berkuasa perlu bertindak dan ambil tindakan terhadap Kula Segaran mengikut lunas undang-undang kerana cuba mencetuskan api kemarahan orang Melayu,” ujarnya yang turut menolak permohonan maaf Kula Segaran yang dibuat secara terbuka hari ini.-UTUSAN ONLINE









