Lokman jangka dapat 80 peratus undi Pas - Utusan Malaysia

Lokman jangka dapat 80 peratus undi Pas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam menjangkakan memperoleh sekurang-kurangnya 80 peratus undi Pas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, 4 Ogos depan.

Beliau berkata, keyakinan tersebut berikutan dasar UMNO dan Pas berkaitan kepentingan hak Islam dan orang Melayu yang semakin dipersoalkan dalam pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH). 

Katanya, usahasama antara kedua-dua parti itu mampu dijayakan susulan pertemuan kedua-dua pihak termasuk dilakukan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan kepimpinan Pas negeri dan kawasan. 

“Berdasarkan bancian, kita dijangka memperoleh 80 peratus undi Pas dan peratusan itu akan meningkat sekiranya pemimpin parti tersebut turun berkempen.

“Selebihnya kita akan memastikan sokongan penuh undian daripada ahli BN selain menarik 17 peratus pengundi yang sebelum ini mensabotaj dan tidak keluar mengundi. Jika itu diperoleh, kita akan menang tipis sekurang-kurangnya 135 undi,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini. 

Terdahulu beliau melakukan program turun padang ke Pasar Pak Lang dan Sekolah Rendah Agama Jalan Kebun bagi mendekati pengundi Dun Sungai Kandis.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Allahyarham Mat Shuhaimi Shafie daripada PKR menang Dun Sungai Kandis apabila memperoleh 23,998 undi berbanding tiga pencabarnya iaitu Datuk Kamaruzzaman Johari (BN) dengan 11,518 undi, Mohd. Yusof Abdullah (Pas) sebanyak 7,573 undi serta Hanafiah Husin (PRM) hanya 76 undi.

Sehubungan itu, Lokman menegaskan pengundi Pas kini lebih bijak dan tidak akan bersengkokol dengan PH dalam memberikan undi kepada calon PKR, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni.

“Terserah kepada dia (Zawawi) yang melahirkan keyakinan tidak akan goyang dengan pengundi Pas akan memilihnya nanti. 

“Namun perlu diingat bahawa orang Pas berpegang pada Islam dan Islam kena menentang benda yang batil termasuk perlantikan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum yang mengundi supaya Azlina Jailani atau Lina Joy  dibenarkan untuk murtad,” jelasnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN