IPOH 27 Julai – Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri merampas makanan ringan di sebuah kilang di Chemor di sini dalam serbuan baru-baru ini kerana menggunakan logo lalal tamat tempoh.
Timbalan Pengarah KPDNHEP Perak, Shamsul Nizam Khalil berkata, serbuan oleh lima anggota dilakukan selepas pihaknya menerima aduan orang awam yang meragui logo halal pada produk makanan ringan dan kacang tanah kilang tersebut.
Menurutnya, siasatan mendapati kilang tersebut pernah memiliki sijil pengesahan halal pada 2014 namun telah tamat tempoh pada 2016 dan pihak pengurusan kilang terus menggunakan logo tersebut.
“Terdapat juga produk makanan ringan menggunakan logo halal tanpa kelulusan dan tidak diiktiraf oleh Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim).
“Pengurus kilang tersebut telah dirakam keterangannya dan KPDNHEP mendapati kilang tersebut melakukan dua kesalahan di bawah Perenggan 8 Perintah Perihal Dagangan 2011 dan Seksyen 16 Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Shamsul Nizam, pihaknya telah menyita 479 makanan ringan yang telah siap dibungkus, makanan ringan yang belum siap dibungkus (445) dan 59 bungkus kacang tanah kesemuanya bernilai RM1,198.
“Kilang yang telah beroperasi kira-kira 20 tahun itu diarahkan untuk menarik semua produk berkaitan yang telah dipasarkan di negeri Perak dan Selangor,” katanya. – UTUSAN ONLINE








