Liverpool terdesak raih gelaran - Utusan Malaysia

Liverpool terdesak raih gelaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW Jersey, Amerika Syarikat – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mengakui tertekan dan terdesak untuk meraih sekurang-kurangnya satu trofi pada saingan musim hadapan.

Jelas bekas pengendali Borussia Dortmund itu, perbelanjaan mewah yang dibuat sejak musim lalu bagi mendapatkan dua pemain termahal dunia iaitu Virgil van Dijk serta Alisson Becker perlu menampakkan hasilnya.

“Liverpool perlu mendapatkan trofi pada musim hadapan tidak kira trofi apa sekali pun. Objektif kami adalah sama seperti musim lalu iaitu perlu mara ke final dan menjadi juara.

“Namun, kehadiran beberapa pemain baharu sekarang ini masih tidak mengubah tanggapan dan jangkaan kami terhadap Liverpool. Mungkin kehadiran mereka boleh memberi sedikit kelainan kepada pasukan.

“Tugas kami adalah untuk meningkatkan kekuatan pasukan secara keseluruhan setiap tahun. Kamu perlu mencari pemain baharu yang boleh mengubah corak permainan pasukan,” katanya.

Sebagai rekod, kali terakhir skuad The Reds meraih trofi ialah pada 2012 dengan menjadi juara Piala Liga. Selepas itu, juara lima kali Liga Juara-Juara itu hanya mampu menamatkan kempen perlawanan utama di kedudukan kedua sahaja.

Liverpool merupakan pasukan yang mencatatkan sejarah dengan membeli pemain pertahanan termahal dunia, van Dijk dengan rekod perpindahan sebanyak £75 juta (RM399.54 juta) serta penjaga gol termahal dunia, Alisson dengan nilai £66.9 juta (RM356.36 juta).

Dalam pada itu, Klopp turut menyifatkan Manchester City, Manchester United dan Chelsea sebagai pasukan pilihan untuk mendominasi Liga Perdana England musim hadapan. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN