KANGAR – Sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) dan kelas pra sekolah, sebuah sekolah kebangsaan di Perlis telah ditutup bermula semalam sehingga 30 Julai ini kerana penularan wabak penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Perlis, Teh Chai Aan berkata, kedua-dua premis itu melibatkan sebuah taska di Beseri dan pra sekolah, sebuah sekolah kebangsaan di Mata Ayer, masing-masing di Padang Besar dekat sini.
“Lima kanak-kanak berusia bawah 10 tahun dijangkiti HFMD iaitu tiga orang dari taska di Beseri sementara dua lagi murid pra sekolah di Mata Ayer.
“Keadaan lima kanak-kanak itu kini stabil dan sedang mendapat rawatan lanjut di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar.
Sementara itu tambah beliau, seramai 45 kanak-kanak lain yang belajar di dua premis itu turut berisiko terdedah dengan HFMD.
“Penutupan kedua-dua premis tersebut bagi mengelakkan penyakit HFMD terus menular,” katanya ketika ditemui pemberita di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini hari ini. – K! ONLINE










