PUTRAJAYA – Impak pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) terhadap industri francais tempatan hanya akan diketahui selepas mekanisme pelaksanaan cukai tersebut dilaksanakan kerajaan kelak.
Pengarah Urusan Perbadanan Nasional Berhad (PNS), Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahabudin berkata, mekanisme itu kelak akan menentukan impak cukai tersebut kepada pelanggan industri francais yang merangkumi sektor makanan dan minuman (F&B) serta perkhidmatan.
“Masih terlalu awal untuk melihat impak berkenaan (SST) memandangkan kaedah pelaksanaan cukai itu masih dirangka dan kita belum mengetahui pelaksanaannya secara keseluruhan,” katanya pada sidang akhbar pada Program ‘Give Back 2018’ PNS dan Marrybrown di sini hari ini.
Beliau berkata demikin ketika diminta mengulas mengenai pelaksanaan SST oleh kerajaan bermula 1 September ini bagi menggantikan cukai barang dan perkhidmatan (GST).
Dalam perkembangan lain, Syed Kamarulzaman berkata, PNS telah memperuntukkan RM25 juta bagi tujuan pembangunan industri francais pada tahun ini.
“Daripada jumlah tersebut, separuh telah diagihkan dan kita menggalakkan pihak francais meluaskan pasaran perniagaan dan memperkenalkan jenama mereka di luar negara,” katanya.
Sementara itu, Ketua Eksekutif Marrybrown, Datuk Joshua Liew berkata, terdapat sebanyak 350 cawangan Marrybrown di seluruh negara dengan 150 cawangan dalam negara.
“Marrybrown telah berkembang maju dan terbaharu kita mahu melebarkan sayap di Eropah iaitu di Amsterdam, Netherland hujung tahun ini.
“Setiap tahun Marrybrown menyasarkan pembukaan 20 cawangan baharu dan setakat suku ketiga tahun ini sebanyak 15 cawangan telah dibuka,” katanya.
Pada majlis tersebut, sebanyak 30 kanak-kanak asnaf berusia tujuh hingga 12 tahun dari Sekolah Kebangsaan Bangsar, Kuala Lumpur telah diraikan sebagai salah satu insiatif tanggungjawab sosial korporat. – K! ONLINE










