BARU-BARU ini saya membawa keluarga ke sebuah kompleks beli-belah bebas cukai di Stulang Laut, Johor Bahru.
Sewaktu dalam perjalanan pulang, kami singgah sebentar di kawasan tepi laut di Jalan Ibrahim Sultan yang terletak tidak jauh dari pusat beli-belah berkenaan.
Apa yang mendukacitakan apabila terdapat tin minuman keras yang dibuang di merata-rata di kawasan berkenaan.
Meskipun terdapat tong sampah di kawasan berkenaan, namun individu yang minum minuman keras berkenaan dengan sesuka hati membuang tin berkenaan di atas laluan pejalan kaki.
Bukan setin dua, malah belasan bekas tin minuman keras dibuang di merata-rata tempat.
Saya syaki mereka minum minuman keras berkenaan secara berkumpulan di tepi laut pada waktu malam.
Terdapat juga tin minuman keras yang dibuang ke dalam laut dan tersangkut di celah-celah batu di tepi pantai berkenaan.
Tindakan tidak bertanggungjawab ini sedikit mencemarkan imej bandar raya ini kepada pengunjung dan pelancong luar.
Justeru, saya berharap agar pihak berkuasa dapat memantau perkara ini dengan mengambil tindakan tegas termasuk mengenakan kompuan ke atas golongan berkenaan.
A. RAZLAN
Taman Pelangi, Johor Bahru










