Lelaki terlibat bukan lagi pekerja LHDN - Utusan Malaysia

Lelaki terlibat bukan lagi pekerja LHDN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 24 Julai – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menegaskan, lelaki yang ditahan selepas terlibat dalam kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah jenis syabu baru-baru ini bukan lagi anggota polis bantuan lembaga tersebut.

Sebaliknya, LHDN dalam satu kenyataan memberitahu, perkhidmatan lelaki itu dengan lembaga tersebut telah ditamatkan berkuatkuasa 21 Mac 2014.

“Kekeliruan ini timbul berikutan lelaki tersebut masih memegang kad kuasa yang tidak lagi sah semasa tangkapan dibuat.

“Dia telah gagal memulangkannya kepada LHDN selepas perkhidmatannya ditamatkan,” katanya di sini hari ini.

Media semalam melaporkan, seorang polis bantuan antara sepuluh lelaki yang ditahan selepas terlibat dalam kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM7.8 juta dalam beberapa serbuan di sekitar Lembah Klang pada Sabtu lalu.

Dalam serbuan pukul 7.40 pagi itu, polis telah merampas 156 kilogram (kg) syabu yang dibungkus dalam bungkusan teh Cina dan disembunyikan di dalam sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux di tempat letak kenderaan Tesco Extra, Ampang, Kuala Lumpur.

Sementara itu, LHDN menjelaskan, sebagai sebuah agensi kerajaan yang sentiasa menjunjung nilai-nilai integriti, LHDN tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang salah laku para pegawainya.

“LHDN juga bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam melengkapkan siasatan sekiranya diperlukan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN