KUALA LUMPUR 13 Julai – Seorang bekas pengajar al-Quran yang sebelum ini dihukum penjara 18 bulan atas kesalahan memiliki video berkaitan kumpulan pengganas bagaikan tidak serik apabila dia didakwa sekali lagi atas tiga pertuduhan serupa.
Berbanding 18 bulan, Muhammad Sani Mahdi Sahar, 25, akan melalui fasa hidup di dalam penjara lebih lama iaitu selama enam tahun apabila dia mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas tiga pertuduhan memiliki barangan berkaitan kumpulan pengganas Daesh, tahun lalu.
Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh menukar pengakuannya kepada bersalah ketika prosiding sebutan semula kesnya hari ini.
Dalam penghakimannya, Hakim Azman berkata, hukuman penjara yang lebih tinggi kali ini diharap mampu menyedarkan tertuduh selepas hukuman sebelum ini seolah-olah tidak memberi kesan dan kesedaran.
“Hukuman itu seperti kesan digigit semut sahaja, yang mana tidak boleh menyedarkan kamu dan masyarakat luar bahawa pentingnya untuk tidak mengulangi perbuatan berunsur keganasan. Saya harap dengan hukuman kali kedua ini kamu lebih menginsafi,” katanya.
Mengikut semua pertuduhan, lelaki itu didakwa telah ada dalam milikannya barangan berunsur perbuatan keganasan yang berkaitan kumpulan Daesh di dalam telefon bimbitnya dan lima helai baju yang mempunyai kaitan dengan kumpulan tersebut.
Muhamad Sani didakwa melakukan perbuatan tersebut di hadapan pintu masuk Blok 3 dan di sebuah unit kediaman di Apartmen Desa Mentari, Jalan PJS 5/12, Petaling di sini pada pukul 5.15 petang dan pukul 5.30 petang, 23 Disember 2017.
Pertuduhan terhadapnya mengikut Seksyen 130Jb (1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan barangan boleh dilucutkan hak.
Terdahulu, Muhamad Sani yang diwakili peguam Nurain Sakina Zakri memohon hukuman ringan dengan alasan baju yang dibeli oleh anak guamnya itu di pasar malam hanya untuk kegunaan peribadi.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Izhanudin Alias memohon hukuman penjara yang panjang bagi memberi pengajaran dengan mengambil kira tertuduh telah menempah khas baju-baju tersebut.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun masing-masing bagi dua kesalahan memiliki baju dan berjalan serentak bermula 23 Disember 2017 manakala penjara tiga tahun lagi bagi pertuduhan memiliki barangan di dalam telefon bimbit serta hukuman itu berjalan selepas hukuman terdahulu selesai.
Mengikut fakta kes, sepasukan anggota polis telah menahan tertuduh yang ketika itu memakai baju T berunsur keganasan di hadapan pintu masuk Apartmen Desa Mentari sebelum membuat pemeriksaan di dalam rumah dan menemukan telefon bimbit selain empat helai lagi baju berkaitan keganasan.











