SIBU – Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya terbabas lalu terhumban masuk ke dalam Sungai Merah di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.50 pagi itu, mangsa Ting Kwong Lim, 25, disahkan meninggal dunia selepas terperangkap di dalam kereta jenis Perodua Alza yang dipandunya.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian anggota bomba dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Sibu telah diarahkan ke lokasi untuk melakukan operasi penyelaman.
Katanya, hasil penyelaman mendapati mangsa masih terperangkap di dalam Perodua Alza berkenaan.
“Pasukan penyelamat kemudian terpaksa menggunakan jentera kren untuk mengangkat kenderaan tersebut.
“Sebaik berjaya mengangkat Perodua Alza itu, anggota bomba mendapati mangsa sudah dalam keadaan tidak bernyawa lagi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ling Hii menambah, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Operasi tersebut tamat sepenuhnya pada pukul 10.29 pagi,” katanya lagi. – K! ONLINE










