Lelaki didakwa rogol, cabul cucu - Utusan Malaysia

Lelaki didakwa rogol, cabul cucu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 12 Julai – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan merogol dan mencabul, masing-masing ke atas dua cucunya yang berusia enam dan lima tahun, bulan lalu.

Tertuduh yang berusia 71 tahun dari Chemor, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan berkenaan dibacakan kepadanya dalam bahasa Punjabi di hadapan Hakim Datuk Julie Lack Abdullah.

Mengikut pertuduhan, warga emas berkenaan didakwa merogol cucunya itu antara pukul 7 malam hingga 7 pagi, dari 3 hingga 6 Jun 2018.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pertuduhan sumbang mahram tersebut yang dikemukakan di bawah Seksyen 376 B (1) Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perbuatan seksual fizikal ke atas adik mangsa dengan cara memasukkan jari ke dalam lubang dubur mangsa.

Pertuduhan di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dihukum sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Naidatul Athirah Azman meminta supaya tiada sebarang jaminan ditawarkan, namun peguam bela Sukhdev Singh memohon jaminan sebanyak RM5,000 atas alasan kesihatan tertuduh serta kemampuan kewangan selain menyatakan kedua-dua mangsa tidak tinggal bersama tertuduh.

Julie Lack bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan. 

Selain itu, mahkamah turut memerintahkan tertuduh tidak cuba menghubungi mangsa dalam apa cara sekalipun serta menetapkan 13 Ogos ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×