KUALA LUMPUR 13 Julai – Robbie Fowler dan Paul Scholes yang pernah bermain dengan skuad bola sepak England pada tahun 2002 akan berada di Resort World Genting bermula hari ini sehingga 15 Julai ini sempena penutupan Genting Football Fever 2018.
Naib Presiden Bahagian Promosi dan Hiburan Resort World Genting, Kevin Tann berkata, beliau sangat berbangga dan teruja dengan kehadiran Robbie Fowler dan Paul Scholes semasa penutupan Genting Football Fever 2018 sempena demam Piala Dunia 2018.
“Pihak kami percaya telah memberikan impak di seluruh negara dengan memberikan pengalaman unik kepada peminat yang tidak terdapat di tempat lain,” katanya.
Dalam pada itu, Fowler dan Scholes mempunyai pendapat yang berbeza tentang perlawanan akhir Piala Dunia 2018 yang bakal berlangsung Ahad ini.
Fowler berpendapat Croatia bakal memenangi Piala Dunia 2018 manakala Scholes memberikan sokongan kepada Perancis. – UTUSAN ONLINE











