SEBERANG PERAI – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang setakat semalam telah mengeluarkan sebanyak 895 saman kepada pemandu lori yang melakukan pelbagai kesalahan sepanjang Ops Lebih Muatan yang bermula 10 Julai lalu.
Pengarahnya, Mohamat Johari Mat Nor pada sidang akhbar di Stesen Penguatkuasa (SPK) Valdor di Nibong Tebal di sini sebentar tadi berkata, pihaknya telah memeriksa 927 buah kenderaan barangan dengan 446 daripadanya dikesan melakukan pelbagai kesalahan dalam operasi yang akan berakhir 9 Ogos depan itu.
Beliau berkata, antara kesalahan paling tinggi dilakukan pemandu lori ialah lebih muatan apabila sebanyak 282 saman dikeluarkan di samping muatan bahaya (36), tiada lesen memandu (35), lesen memandu tamat tempoh (26), tiada lesen vokasional kenderaan barangan (36), teknikal (211) dan lain-lain (269).
Menurutnya, seramai 112 anggota dan pegawai penguatkuasa terlibat dalam operasi yang dilakukan di seluruh negeri tersebut. – K! ONLINE










