KUANTAN – Kajian semula berkenaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) merupakan antara intipati Lawatan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ke China pada pertengahan bulan depan.
Selain meneliti perjanjian ditandatangani kerajaan terdahulu itu, Dr. Mahathir juga akan membincangkan pelbagai isu bagi mengukuhkan hubungan kedua-dua negara.
Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pihaknya sedang berhubung dengan Kementerian Luar negara itu untuk menentukan tarikh dan atur cara lawatan pertama Dr. Mahathir ke China selepas dilantik semula sebagai Perdana Menteri pada Mei lalu.
“Antara agenda lawatan berkenaan adalah membincangkan perjanjian projek ditandatangani kerajaan sebelum ini dengan China termasuk ECRL yang projek pembinaannya digantung sejak 3 Julai lalu berikutan arahan kerajaan menerusi Kementerian Kewangan.
“Ia bukannya bermaksud (projek ECRL) dihentikan tetapi kita hendak melihat bagaimana perkara tertentu boleh diperbaiki dan ditambah nilai namun, paling mustahak kita mahu menjaga hubungan perdagangan antara kedua-duanya,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan Hari Ibu Bapa Peringkat negeri yang diadakan di Kampung Chengal Lempong di sini semalam.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.










