KUALA LUMPUR 24 Julai – Lapan pesilat remaja Persatuan Silat Melayu Keris Lok 9 (PSMKL9) memerlukan tajaan bagi mewakili negara dalam Kem Musim Panas Seni Bela Diri Belia Antarabangsa Kedua (IYMAC) di Pusat Belia Chungju, Korea Selatan pada 8 hingga 13 Ogos ini.
Bagaimanapun, persiapan pesilat remaja itu agak ‘tergendala’ berikutan ketiadaan tajaan sama ada daripada pihak kementerian berkaitan mahupun badan korporat.
Menurut Pengasas dan Presiden PSMKL9, Mahaguru Prof. Dr. Azlan Jumat Abdul Ghanie atau lebih dikenali sebagai Azlan Ghanie, tajaan tersebut diperlukan bagi persiapan mereka dari segi pakaian, bayaran pendaftaran dan perbelanjaan yang diperlukan di sana.
Katanya, ketika ini mereka terpaksa menggunakan duit sendiri dan persatuan bagi membeli sedikit-sebanyak barangan dan pakaian diperlukan bagaimanapun masih tidak mencukupi. “
“Justeru itu, kami memohon sekiranya ada tajaan daripada pihak kerajaan ataupun badan korporat untuk bersama- sama membantu pesilat remaja ini.
“Mereka yang berusia 12 hingga 16 tahun akan diiringi jurulatih, Mohd. Fadli Adha Mohamad Rashid, kini sedang mengikuti latihan persediaan intensif bagi memastikan mereka dapat membawa warisan silat negara di mata dunia,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Azlan yang juga Presiden Persatuan Guru-Guru Seni Bela Diri Malaysia (MAGMA) memberitahu, penyertaan pasukan remaja itu dapat memberikan pendedahan kepada mereka di samping mempromosikan silat kepada negara luar. “
“Kami mahu memastikan mereka menjadi duta kecil negara dengan dapat bercerita mengenai silat, kenapa gerak langkah berkenaan diambil, tangan diangkat dan cara kuncian Melayu kepada pasukan seni bela diri dunia yang lain. “
“Silat ini petua dan pandang dengan mata hati yang dapat nampak perbezaannya dengan seni bela diri lain,” jelasnya.
Sehubungan itu, Azlan berkata, bagi mereka yang berminat untuk menyalurkan sumbangan melalui akaun bank Persatuan Silat Melayu Keris Lok 9 Malaysia 562740110080 (Maybank) atau menghubungi Guru Hilmi Hamid di talian 012-9037554 untuk keterangan lanjut. – UTUSAN ONLINE










