Lapan anggota polis pelancong ditempatkan di Pulau Perhentian bermula 1 Ogos - Utusan Malaysia

Lapan anggota polis pelancong ditempatkan di Pulau Perhentian bermula 1 Ogos

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT – Polis Terengganu akan menempatkan lapan anggota dari Unit Polis Pelancong di Pulau Perhentian dekat sini bermula Rabu depan bagi meningkatkan tahap kawalan keselamatan dalam kalangan pengunjung di pulau peranginan terkenal tersebut.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu itu ditugaskan di pulau berkenaan sebagai langkah pencegahan mengekang daripada berlakunya kes-kes jenayah terhadap pelancong mahu pun penduduk setempat. 

“Kehadiran Unit Polis Pelancong di pulau ini membolehkan pengunjung berasa lebih selamat dan bebas melakukan aktiviti mereka. 

“Selain menjalankan penugasan di Pulau Perhentian Besar dan Pulau Perhentian Kecil, unit berkenaan turut melakukan rondaan di lokasi tumpuan pelancong seperti kawasan Pasir Panjang (Long Beach),” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan bot dan sesi dialog dengan pengusaha bersama Polis Diraja Malaysia di Pulau Perhentian dekat sini hari ini. 

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Terengganu Datuk Idris Abdullah dan Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi. 

Pada majlis itu, polis Terengganu turut menerima sebuah bot berharga RM24,000 hasil sumbangan daripada 16 pengusaha chalet pulau berkenaan yang akan digunakan oleh Unit Polis Pelancong untuk melakukan rondaan. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN