Lanjutkan pemutihan - Utusan Malaysia

Lanjutkan pemutihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 13 Julai – Lebih 100 persatuan dan dewan industri memohon kerajaan untuk melanjutkan tempoh akhir pemutihan kepada enam bulan lagi bagi pekerja ­asing, yang tamat 30 Jun lalu serta menangguhkan serbuan yang dijalankan oleh pihak berkuasa sekarang.

Persekutuan Pekilang-peki­lang Malaysia (FMM) berkata, sebanyak 109 badan perdagangan secara bersama telah menyerahkan rayuan kepada Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia berkaitan program penggajian semula pekerja asing dan isu upah minimum.

Permohonan tersebut meminta tiga perkara iaitu:

1. Melanjutkan tempoh pemutihan sehingga enam bulan berdasarkan kepada syarat-syarat program amnesty 6P.

2. Menangguhkan serbuan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa sehingga proses pemutihan selesai.

3. Sebarang cadangan untuk menaikkan kadar upah minimum hanya akan berkuat kuasa pada 2019.

FMM berkata, terdapat ba­nyak gangguan disebabkan oleh program penggajian semula yang ditamatkan pada 30 Jun lalu dan Ops Mega 3.0 yang dilancarkan dalam masa yang singkat.

Katanya, tindakan untuk menahan pekerja asing haram di seluruh negara itu telah menjejaskan majikan yang ber­usaha mendapatkan pemutihan pekerja, tetapi berdepan cabaran se­perti permohonan yang ditangguhkan terutama melibatkan pihak ejen ketiga.

Majikan-majikan itu ujar FMM, telah terjejas teruk akibat gangguan terhadap operasi perniagaan mereka.

Persekutuan itu menambah, proses permohonan perlu dijalankan secara terus dan dikemukakan kepada kaunter imigresen di seluruh negara atau secara dalam talian sekiranya terdapat sistem disediakan.

“Syarat pemutihan hendaklah mengguna pakai program pengampunan 6P yang memerlukan pekerja sihat tubuh badan, mempunyai pasport sah selama 12 bulan, tidak mempunyai rekod jenayah dan diambil dengan kos minimum,” katanya.

FMM berkata, tidak seharus­nya ada pihak ejen ketiga atau penyedia perkhidmatan yang terlibat dalam proses permohonan pemutihan.

FMM turut menggesa proses yang jelas dan telus selain pia­gam pelanggan bagi memastikan pemprosesan yang cepat, berkesan dan bersih.

Persekutuan itu turut meminta agar permit kerja bagi pekerja yang sah seharusnya sah selama sekurang-kurangnya setahun.

Sementara itu ujarnya, kedutaan-kedutaan yang terlibat juga harus mempercepatkan terbitan pasport bagi warga negara ma­sing-masing.

“Tidak sepatutnya ada sekatan atau pembekuan untuk merekrut pekerja baharu dari negara sumber ketika pemutihan sedang dijalankan,” kata FMM.

Sebaliknya jelas FMM, perlu terdapat penguatkuasaan yang ketat sebaik sahaja tempoh pemutihan berakhir dan sistem pengambilan terbuka kepada semua, serta mekanisme penyelesaian untuk menangani pemer­dagangan manusia.

Katanya, jika mampu, badan-badan perdagangan mengesa satu badan kerajaan atau kementerian untuk mengendalikan semua perkara berkaitan sumber manusia di negara termasuk pekerja asing bagi memastikan perancangan tenaga kerja yang adil, komprehensif, jangka panjang dan holistik.

Menurut FMM, bagi upah minimum, kerajaan Pakatan Harapan digesa memenuhi janjinya semasa pilihan raya lalu untuk mengkongsikan peningkatan upah minimum bersama majikan.

Ujarnya, tahap upah minimum semasa tidak seharusnya meningkat dalam kadar segera kepada RM1,500, tetapi dilanjutkan sehingga tempoh lima tahun dengan kenaikan pertama pada 2019.

Walau bagaimanapun kata­nya, hasrat untuk menyeragamkan upah minimum di Sabah dan Sarawak bersama Semenanjung perlu dikaji semula kerana Sabah dan Sarawak tidak akan dapat menerima peningkatan yang ketara.

“Pada masa sama, potongan perumahan bulanan yang dibenarkan bagi pekerja asing perlu ditingkatkan daripada RM50 hingga RM150.

“Selain itu, perlu juga me­laksanakan mekanisma levi berperingkat termasuk membajak semula levi yang dikumpulkan untuk menyokong automasi industri dan pengadaptasian tek­nologi Industri 4.0. Namun pada masa sama, beban levi harus dikembalikan kepada pe­kerja asing.

“Definisi upah minimum juga harus dikaji semula kerana jumlah imbuhan seperti upah asas dan semua pembayaran tunai serta elaun tetap ditetapkan sebagai upah di bawah Seksyen 2 Akta Pekerjaan 1955.

“Peningkatan upah minimum mesti sepadan dengan keuntu­ngan produktiviti iaitu dengan berusaha ke arah melaksanakan sistem upah yang berkaitan de­ngan produktiviti,” jelas FMM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN