KUALA LUMPUR 23 Julai – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersedia untuk menggunakan hak mengundinya bagi menyemak semula pembayaran gaji pengarah di syarikat miliknya, menurut sumber yang mengetahui perkara tersebut.
KWSP yang menguruskan aset bernilai RM814.4 bilion, bersedia untuk menyuarakan pandangannya terhadap gaji dan pelantikan eksekutif menerusi undian di mesyuarat pemegang saham sekiranya perbincangan dengan lembaga pengarah dan pihak pengurusan gagal mencapai kata putus, kata sumber itu yang enggan identitinya didedahkan.
Ia menandakan tindakan yang lebih luas merangkumi seluruh syarikat pelaburan KWSP, selepas kumpulan itu menyuarakan hak untuk menolak pembayaran gaji Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura Energy Bhd., Tan Sri Shahril Shamsuddin.
Sebelum ini Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berjanji untuk mengubah semua tampuk pimpinan dalam GLC selepas mengambil alih pentadbiran daripada kerajaan yang memerintah negara selama lebih enam dekad.
Susulan itu, Gabenor Bank Negara Malaysia telah meletakkan jawatan, diikuti dengan beberapa eksekutif tertinggi daripada Petroliam Nasional Bhd. (Petronas), Telekom Malaysia Bhd. (TM) dan Permodalan Nasional Bhd. (PNB).
“Ini adalah tadbir urus korporat yang baik. Dengan menggunakan undi, KWSP membuat keputusan yang betul.
“Ia akan mengingatkan lembaga pengarah dan pengurusan syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia yang mereka mempunyai kewajipan fidusiari untuk menguruskan syarikat dengan baik,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Areca Capital Sdn. Bhd., Danny Wong Teck Meng dalam satu panggilan telefon di sini.
Sebelum ini, KWSP gagal untuk mengundi keluar Shahril daripada jawatannya pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Sapura Energy pada 18 Julai lalu. Shahril dibayar RM71.92 juta termasuk bonus RM55 juta bagi tahun fiskal berakhir 31 Januari, ketika syarikat itu mengalami kerugian RM2.5 bilion.
Ini adalah kali pertama sebuah institusi dana mengambil pendirian yang aktif di Malaysia, lapor The Edge yang memetik Pengurus Besar Pemerhati Pemegang Saham Minoriti, Lya Rahman.
“KWSP komited kepada agenda untuk mempromosi amalan urus tadbir yang kukuh dalam korporat Malaysia, dan menjangkakan amalan yang sama dilaksanakan terhadap semua syarikat yang mempunyai kepentingannya,” kata kumpulan itu dalam emel kepada Bloomberg.
KWSP adalah pelabur terbesar dalam saham Malaysia dan memiliki lebih lima peratus kepentingan dalam sebahagian besar syarikat yang disenarai, termasuk Sapura dan TM, Tenaga Nasional Bhd. (TNB), Malayan Banking Bhd. (Maybank), Media Prima Bhd. dan Gamuda Bhd.
Pelaburan ekuitinya merangkumi 41.6 peratus daripada jumlah aset keseluruhan, menurut kenyataan kumpulan tersebut pada Jun lalu. – Bloomberg










