MUAR 23 Julai – Jumlah kutipan darah di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini pada tahun lalu mencapai sebanyak 9,407 beg yang menyaksikan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Selahuddeen Abd. Aziz berkata, pada tahun 2016, jumlah kutipan di hospital berkenaan adalah kira-kira 8,900 beg darah.
“Sementara bagi tahun ini kutipan di HPSF sudah mencapai lebih 4,500 beg darah sehingga 30 Jun lalu dan kita optimis jumlah itu akan terus meningkat menjelang hujung tahun.
“Purata penggunaan darah di hospital ini pula adalah kira-kira 200 beg seminggu yang mampu menyelamatkan sehingga 600 nyawa kerana setiap satu beg mencukupi untuk tiga nyawa,” katanya ketika merasmikan majlis Apresiasi Penderma dan Penganjur Kempen Derma Darah di sini semalam.
Yang turut hadir, Pengarah HPSF, Dr. Muhammad Yusof Sibert dan Ketua Unit Perubatan Transfusi HPSF, Dr. Sri Rahayu Sabtu.
Mengulas lanjut, Selahuddeen yang juga bekas Pengarah HPSF berkata, hospital itu pada satu-satu masa turut berdepan masalah kekurangan bekalan darah terutamanya pada musim perayaan.
“Walau bagaimanapun, masalah itu tidak berpanjangan kerana HPSF sentiasa mempunyai kumpulan penderma yang bersiap sedia sekiranya diperlukan untuk menderma darah,” ujarnya.
Kata beliau lagi, sumber darah selamat amat penting dalam proses membekalkan darah kepada mereka yang memerlukan kerana tiada sesiapa pun yang rela menerima darah tercemar.










