KOTA BHARU 10 Julai – Kumpulan Medixin yang mewakili Pasukan Inovatif dan Kreatif (KIK), Pejabat Pendaftar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) merangkul pingat emas pada Konvensyen ‘Kecemerlangan Pasukan’ Wilayah Pantai Timur 2018 di Bukit Gambang Resort City, Kuantan baru-baru ini.
Kumpulan itu meneruskan kecemerlangan merangkul pingat emas kali kedua pada konvensyen tahunan anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) yang dibangunkan untuk membantu Unit Promosi Universiti mengurangkan masa dan kos percetakan bahan promosi.
Ketua Kumpulan Medixin, Mohd. Zulfadli Mat Husin berkata, idea untuk melaksanakan aplikasi tersebut timbul selepas mendapati cara promosi melalui bahan cetak yang digunakan oleh unit itu tidak efektif dan tidak seragam.
Beliau berkata, melalui pembangunan platform itu, pihaknya dapat mengurangkan kos sebanyak RM100,000 setahun daripada kos sebenar percetakan bahan promosi.
“Secara tidak langsung, melalui penggunaan aplikasi yang dibangunkan berjaya menyumbang kepada pengurangan kos percetakan bahan promosi yang mengalami peningkatan pada setiap tahun,” katanya ketika ditemui di UMK Kampus Kota, di sini semalam.
Konvensyen Pasukan Kecemerlangan Wilayah Pantai Timur tahun ini disertai oleh 44 kumpulan daripada 22 organisasi di negeri ini, Terengganu dan Pahang.
Melalui produk inovasi yang dibangunkan itu telah berjaya menjimatkan kos sekitar RM83.5 juta.
Mohd. Zulfadli memberitahu, Kumpulan Medixin terdiri daripada sebahagian besar ahli yang diselia oleh fasilitator, Dr. Arbaiah Abd. Razak bersama pasukan pejabat pendaftar UMK.
“Selepas kejayaan ini Kumpulan Medixin akan memberi fokus kepada persediaan untuk Konvensyen KIK Peringkat Universiti Awam dan peringkat Dalaman UMK yang dijadualkan pada Ogos nanti.
“Penyertaan Medixin dalam konvensyen ini adalah kesinambungan langkah peningkatan produktiviti universiti serta pembudayaan kualiti di tempat kerja selain menjenamakan imej dan reputasi UMK kepada masyarakat luar,” katanya.
Tambahnya, kumpulan tersebut berharap aplikasi yang dibangunkan itu digunakan sepenuhnya di universiti-universiti tempatan kerana banyak memberikan manfaat dan selari dengan perkembangan teknologi terkini.










