BACHOK 13 Julai – Kementerian Pembangunan Usahawan akan mengumpulkan semula data usahawan seluruh negara dengan perincian yang lebih tepat secepat mungkin sebelum merencanakan agendanya secara teliti.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Dr. Hatta Ramli berkata, langkah itu dibuat bagi memastikan usaha membantu golongan berpendapatan rendah dan usahawan yang belum berdaya saing dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Data sedia ada berkemungkinan tidak tepat jadi kita memerlukan perincian semula sebelum mengatur gerak kerja.
“Ini termasuk merangka pelan tindakan untuk membantu siswazah menganggur menceburi bidang keusahawan khususnya dalam kalangan yang berlatarbelakang keluarga miskin,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Hari Raya Parti Amanah Negara (Amanah) Bachok di D’Heritage Resort, di sini hari ini.
Dr. Hatta berkata, beberapa perancangan sedia ada pula akan dirangka semula agar penyertaan usahawan baharu dapat dikembangkan menerusi penyediaan pinjaman modal, bimbingan dan pemantauan untuk mencapai objektif sebenar.
Sementara itu katanya, pembiayaan pinjaman mudah dan mikro sebagai modal awal kepada usahawan akan terus dikekalkan kerana ia menjadi pemangkin awal yang amat diperlukan oleh usahawan baharu. – UTUSAN ONLINE










