LAUTAN berkilau yang menyapu pepasiran di sepanjang Pantai Diani menjadikan bahagian tenggara Kenya sebagai salah satu tarikan pelancongan utama di negara itu.
Di sebalik keindahan itu, masalah bekalan air bersih menjadi isu utama di kawasan tersebut.
Terang seorang profesor Geologi dari Universiti Nairobi, Daniel Olago, masalah tersebut berlaku secara meluas di seluruh Afrika.
Bahkan tiada maklumat asas berapa banyak air yang mereka ada dan bagaimana air terisi semua serta cara untuk bertindak balas terhadap cuaca.
“Kami tidak tahu keadaan sumber air yang sebenar kerana tidak melakukan kajian mencukupi mengenai air bawah tanah sebelum ini,” katanya.
Para saintis dari Universiti Nairobi, Universiti Barcelona, Universiti Oxford, Universiti Teknologi Pertanian dan Teknologi Jomo Kenyatta sedang mengkaji sistem air bawah tanah di Kwale dan Msambweni.
Kajian itu membolehkan mereka menentukan saiz dan kedalaman mata air serta geokimia airnya.
Satu program komputer dibina untuk menentukan kualiti dan kuantiti air.
Menerusi data yang dikumpul, mereka boleh membuat analisis berdasarkan aspek seperti iklim atau jumlah air yang diekstrak.
Kawal selia
“Kekurangan maklumat menjadi halangan kepada pihak kami untuk mencari solusi masalah sumber air bersih di sini.
“Kita perlu tahu berapa banyak air hujan yang mengisi semula air bawah tanah dan begitu juga jumlah penyusutan, kuantiti simpanan serta jumlah penggunaan,” ujar Olago yang merupakan salah seorang penyelidik utama dalam Kajian Membuka Potensi Air Bawah Tanah Bagi Golongan Miskin (UpGro).
Melalui kajian ini mereka dapat mengenal pasti sama ada air tersebut sesuai diminum atau hanya boleh digunakan bagi industri atau pengairan.
Dua pengguna air terbesar di Kwale adalah syarikat perlombongan Base Titanium dan Syarikat Gula Antarabangsa Kwale yang mempunyai 8,000 hektar tebu di bawah pengairan tersebut.
Kedua-duanya mempunyai empangan dan membina lebih banyak serta mengambil air akuifer di Msambweni ketika taburan hujan rendah.
Kajian menunjukkan penggunaan kedua-dua syarikat itu tidak memberi impak besar terhadap paras air bawah tanah.
Menurut Pengurus Operasi Penyelidikan untuk Fokus Luar Bandar, Calvince Wara, saintis bekerjasama rapat dengan kedua-dua syarikat itu kerana mereka mempunyai pengalaman luas tentang air bawah tanah di Kwale.
Wara berkata, sebaik sahaja sistem itu difahami dengan baik, ia akan dapat mengenal pasti cara terbaik untuk menggunakan air secara mampan.
Pada masa ini, kerajaan hanya mengeluarkan lesen lubang air kepada syarikat yang menginginkannya tetapi tidak mengetahui saiz akuifer, kadar penambahan atau tindak balasnya terhadap iklim.
Alat ini akan memberi jawapan sebenar keadaan air bawah tanah dan membolehkan kerajaan memahami dengan lebih baik kesan penerbitan lesan baharu itu.
“Melalui alat ini, kerja mengawal selia dapat dilakukan dengan mudah untuk mengetahui paras air akuifer.
“Ia memudahkan kami untuk mengawal jumlah air yang boleh diekstrak bagi kegunaan industri pada bila-bila masa,” tuturnya.
Wakil dari Pihak Berkuasa Sumber Air di Mombase, Ahmed Mbarak berkata, maklumat baharu itu menjadi bukti berguna kepada kemampuan pihaknya untuk membuat pemantauan paras air bawah tanah dan membuat keputusan mengenai kelulusan lesan tersebut.
“Dek kerana keadaan iklim yang berubah-ubah, maklumat itu menjadi sumber ‘emas’ untuk menambah beberapa data sedia ada.
“Ia boleh membantu kita menyesuaikan peraturan pengeluaran lesen untuk pengekstrakan air bawah tanah,” jelasnya.
Ologo berkata, alat yang dibangunkan itu sangat berguna di Nairobi yang sedang berjuang untuk memenuhi permintaan air.
Kegunaan harian
Sumber air utama Nairobi ialah empangan Ndakaini yang terletak kira-kira 50 kilometer di utara ibu negara. Ia membekalkan kira-kira 85 peratus daripada 500 juta liter air yang memenuhi kegunaan seharian di bandar itu.
Bagaimanapun, permintaan terhadap air ialah 700 juta liter sehari. Paras air di empangan menurun dengan ketara walaupun hujan lebat baru-baru ini.
Kerajaan akan membuat catuan air di ibu negara secara berterusan sehingga tahun 2026.
Ahli Hidrologi dengan Fokus Luar Bandar, Mike Lane berkata, pada tahun 1980 banyak telaga di gali di Nairobi dengan kedalaman 80 meter tetapi kini mereka perlu turun 400 meter.
“Paras air bawah tanah semakin menyusut dan masalah ini turut dihadapi di kawasan-kawasan lain,” jelasnya.
Sementara itu, kajian tersebut juga mendedahkan risiko utama kepada akuifer di Msambweni.
Jika terlalu banyak air diekstrak, air masin dari Pantai Diani akan memasuki kawasan air tawar dan memusnahkan akuifer.
“Oleh itu, amat penting sumber air ini dilindungi,” ulasnya. – Reuters










