KPN nafi Zakir dihantar pulang - Utusan Malaysia

KPN nafi Zakir dihantar pulang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dak­­waan pendakwah antarabangsa dari India, Dr. Zakir Naik telah dihantar pulang ke negara asalnya semalam.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohammad Fuzi Harun berkata, pihaknya juga tidak boleh memberi jawapan sama ada beliau akan dihantar pulang nanti atau sebaliknya.

“Apa yang boleh saya beri­tahu beliau (Zakir) tidak akan dihantar pulang hari ini (semalam), lain-lain itu saya tak boleh komen lagi setakat ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Terdahulu, satu portal tempatan melaporkan Zakir Naik akan dihantar pulang ke India, namun pendakwah itu menerusi satu kenyataan menyifatkan laporan itu tidak berasas dan palsu.

Pada 27 Oktober 2017, akhbar Times of India me­laporkan Agensi Penyiasatan Kebangsaan India (NIA) menyerahkan laporan siasatan terpe­rinci ke atas dakwaan aktiviti pengganas Zakir kepada Kementerian Dalam Negeri India dan memohon kebenaran untuk mendakwa beliau yang melarikan diri dari India dan diberi status penduduk tetap (PR) di ­Malaysia.

Langkah itu ke arah memohon ekstradisi dari Malaysia dan Arab Saudi, dua negara yang diketahui menjadi tempat tinggal Zakir.

Akhbar itu turut melaporkan kementerian dimaklumkan siasatan terhadap Zakir sudah selesai dan pe­ranannya meradikalkan belia Islam di India menyertai ‘jihad’ disokong bukti yang kuat. Turut dikumpul ialah bukti atas dakwaan beliau menyebarkan permusuhan antara kumpulan agama dan mengganggu keharmonian ma­syarakat.

Zakir diberikan status PR di Malaysia sejak tahun 2012 oleh kerajaan Barisan Nasio­nal ketika itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN