KPDNHEP Perak sita 10,920 liter diesel bernilai RM74,000  - Utusan Malaysia

KPDNHEP Perak sita 10,920 liter diesel bernilai RM74,000 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyita sebanyak 10,920 liter minyak diesel milik sebuah syarikat bernilai RM74,000 yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penjualan minyak diesel subsidi tanpa lesen di sebuah premis di Chemor di sini kelmarin.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDNHEP Perak, Shamsul Nizam Khalil berkata, serbuan dijalankan selepas mengadakan pemerhatian dan risikan selama dua minggu sebelum mendapati syarikat tersebut menjalankan perniagaan harga kawalan diesel.

Jelasnya, syarikat tersebut dipercayai menjalankan menjual minyak diesel secara borong untuk edaran kepada pelanggan di sekitar negeri ini sejak empat bulan lalu.

“Siasatan awal mendapati, syarikat tersebut memiliki lesen runcit barang kawalan diesel yang telah tamat tempoh pada bulan Mei tahun lalu.

“Selain itu, syarikat tersebut juga tidak mempunyai lesen yang sah daripada Pengawal Bekalan Malaysia untuk menjalankan perniagaan barang kawalan diesel secara borong,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Shamsul Nizam, syarikat tersebut juga menerima bekalan minyak diesel daripada pembekal yang terdiri daripada syarikat minyak dan pemborong yang berlesen secara tidak sah.

Ujarnya, syarikat tersebut turut dipercayai cuba menyeleweng barang kawalan diesel yang dibeli dengan harga subsidi iaitu pada kadar RM2.18 bagi perniagaan stesen minyak namun dijual pada harga borong antara RM2.30 hingga RM2.40 kepada kilang. 

“Syarikat tersebut juga tidak mendapat kebenaran daripada pihak bomba untuk menjalankan perniagaan barang kawalan diesel secara borong di premis tersebut.

“Berdasarkan hasil pemeriksaan yang telah dijalankan, kita telah mengambil keterangan daripada seorang lelaki berusia 50 tahun yang mengaku pemilik premis tersebut,” katanya.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974. – K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN