LOS ANGELES 24 Julai – Jurgen Klopp mengakui, dia kini berada di bawah tekanan untuk memburu trofi selepas kelab berbelanja besar pada musim panas ini.
Klopp berbelanja sebanyak 175 juta pound (RM932 juta) bagi membawa masuk wajah-wajah baharu pada musim penuh ketiganya di Anfield, dengan Alisson mencatat rekod selaku penjaga gol termahal di dunia menerusi harga 65 juta pound (RM346 juta), selain pembelian pemain tengah, Fabinho, Naby Keita dan Xherdan Shaqiri pada jendela perpindahan kali ini.
Liverpool menamatkan aksi musim lepas 25 mata di belakang penyandang juara Manchester City, tetapi mereka hampir memenangi Liga Juara-Juara, setelah tewas kepada Real Madrid dalam perlawanan akhir.
Klopp sedar kedudukan hampir memenangi trofi tidak cukup buat Liverpool kerana mereka perlu merangkul kejuaraan setelah kali terakhir berbuat demikian ialah ketika memenangi Piala Liga pada 2012.
“Kami memang mengharapkan lebih daripada diri sendiri. Kami akan memburu setiap trofi, tetapi ini tidak bermakna saya boleh duduk di sini dan berkata akan akan dapatkannya.
“Kami mempunyai cita-cita besar, 100 peratus. Kami perlu bersedia untuk melaksanakannya. Saya tidak boleh memberi jaminan di sini, tetapi saya faham jika ada orang yang berfikir sedemikian. Saya sedar tentang harapan yang diletakkan kepada kami dan ia satu perkara yang normal.
“Pertama sekali kami perlu bermain bola sepak yang membuka peluang kepada kami memenangi sesuatu. Saya yakin kami mampu meneruskan momentem musim lalu. Anda perlu belajar bagaimana untuk mendapatkannya pula.
“Saya tidak ragu bahawa kami mampu mengulangi pencapaian lalu. Saya mahu bermula dengan baik, tetapi kami juga sedar terdapat perkara yang berada di luar kawalan kami.
“Saya akan memulakan musim penuh untuk tahun ketiga dan dalam setiap musim akan ada orang yang mempersoalkan saya atau kemajuan yang telah kami lakukan. Pada pengakhirannya, semuanya akan berjalan dengan baik. Saya bersedia untuk detik itu.
“Pemain baharu akan menjadikan kami lebih kuat 100 peratus. Bagaimana? Dengan berada di dalam kesebelasan utama atau hadir daripada bangku simpanan, skuad kami akan menjadi lebih mantap,” kata Klopp. – AGENSI










