Kisah sedih bayi comel Adam Rayqal - Utusan Malaysia

Kisah sedih bayi comel Adam Rayqal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kejadian yang me­nimpa bayi berusia lima bulan, Adam Rayqal Mohd. Sufi Naeif awal bulan lalu sememangnya memberi kesan kepada segenap rakyat Malaysia.

Kematian kanak-kanak itu di rumah pengasuhnya di Jalan Nakhoda Kiri Tiga, Kampung Nakhoda, Batu Caves, Selangor telah membuka semula perdebatan tentang betapa pentingnya perkhidmatan dan penye­diaan pusat asuhan yang teratur dan berdaftar di seluruh negara.

Tekanan ekonomi semasa dan peningkatan kos sara hidup hari ini memberi kesan kepada dinamik keluarga dengan semakin ramai pasangan suami isteri memasuki sektor tenaga kerja bagi memastikan kesejahteraan hidup keluarga sentiasa selesa dan terjaga.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut data Jabatan Perangkaan, kadar penyertaan tenaga buruh wanita adalah 54.7 peratus daripada sejumlah 15 juta pekerja di Malaysia pada tahun 2017.

Malah, pada hari ini, pekerjaan mengikut syif mahupun bekerja pada hari cuti juga dilihat semakin jelas dengan pelbagai tanggungjawab dan tugas yang perlu digalas pekerja.

Rentetan kematian Adam Rayqal, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat baru-baru ini mengumumkan bahawa ia menyasarkan semua agensi kerajaan dapat mewujudkan pusat penjagaan kanak-kanak masing-masing men­jelang 1 Januari tahun depan.

Ia sememangnya satu langkah positif yang pastinya menggembirakan ibu bapa yang bekerja di sektor awam kerana langkah itu pastinya dapat memberi ketenangan minda kepada mereka.

Namun demikian, gesaan pembukaan pusat jagaan di tempat kerja, baik di sektor awam mahupun swasta, bukanlah suatu perkara baharu, malah saya sendiri pernah cuba mendapatkan komen susulan dari bekas Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkenaan cadangan tersebut begitu lama dahulu.

Selain memastikan bahawa cadangan tersebut menjadi realiti, adalah wajar sekiranya pihak kementerian juga membuat kaji selidik mengapa cadangan sebelum ini menerima maklum balas hambar daripada segenap sektor terlibat.

Adakah ia berkenaan pengawal seliaan? Bagaimana pula mengenai penguatkuasaan? Adakah maklumat mengenai latihan dan kos terlibat tidak disalurkan secara meluas? Apakah yang menyebabkan pengasuh ini enggan mendapatkan latihan yang diperlukan? Mengapakah masih terdapat bilangan besar taska yang tidak berdaftar di negara ini? Adakah insentif yang diberikan kerajaan tidak memadai?

Pada tahun 2016, Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat ketika itu, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, pihaknya menyasarkan mewujudkan 13,200 taska berdaftar menjelang tahun 2020 bagi memastikan anak-anak bagi ibu berkerjaya dapat dijaga dengan sempurna.

Selain itu, susulan pembentangan Bajet 2018, dilaporkan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan me­nguatkuasakan arahan serta-merta kepada pemaju dengan menyediakan pusat jagaan kanak-kanak di semua projek bangunan pejabat baharu di ibu negara.

Diakui bahawa penyediaan pusat jagaan ini secara langsung mampu meningkatkan produktiviti pekerja, selain merupakan satu lagi faktor yang mampu me­nyumbang dalam mencapai keseimbangan kerja-kehidupan.

Diharapkan gesaan terbaharu kerajaan ini akan menjadi realiti dan semoga ia turut menerima maklum balas positif daripada sektor swasta untuk menjayakannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×