KOTA KINABALU – Sebanyak 1,791 kes denggi direkodkan di Sabah sehingga 21 Julai lepas meningkat kepada 666 kes berbanding 1,125 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr. Christina Rundi berkata, daripada 26 daerah di negeri ini, 12 daerah menunjukkan peningkatan kes denggi berbanding tahun lepas.
“Empat daerah dengan bilangan kes yang tinggi adalah Kota Kinabalu iaitu 491 kes, Tawau (357), Kunak (202) dan Lahad Datu (178),” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Bilangan kematian akibat denggi di Sabah sehingga 21 Julai lalu adalah 15 kes meningkat 11 kes berbanding cuma empat kematian direkodkan dalam tempoh sama tahun lepas.
Justeru, orang ramai perlu sentiasa peka dengan kebersihan persekitaran mereka serta mengambil langkah perlu bagi memastikan nyamuk aedes tidak membiak di kawasan masing-masing, kata Christina. – Bernama










