Khairy persoal punca kuasa Majlis Penasihat Kerajaan - Utusan Malaysia

Khairy persoal punca kuasa Majlis Penasihat Kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 24 Julai – Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) mempersoalkan tentang punca kuasa yang membenarkan Majlis Penasihat Kerajaan yang ditubuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk membuat keputusan penting berkaitan pentadbiran negara.

Beliau berkata, majlis tersebut dilihat bukan sekadar berperanan untuk memberi khidmat nasihat sahaja malah didakwa memainkan peranan di sebalik peletakan jawatan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md. Raus Sharif.

“Soalan saya, apakah punca kuasa Majlis Penasihat Kerajaan ini memandangkan ia tidak hanya memberi khidmat nasihat sahaja kepada kerajaan tetapi telah memanggil bekas Ketua Hakim Negara untuk menghadap dan telah diberitahu bahawa beliau mesti letak jawatan.

“Itu bukan nasihat, itu adalah arahan serta-merta mesti letak jawatan dan itu direkodkan,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Khairy turut membangkitkan tentang kewajaran kerajaan PH menghantar Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin untuk berunding dengan kerajaan China.

Pada masa sama, beliau turut mendakwa pelantikan Ahli Majlis Penasihat Kerajaan, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz sebagai Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Pengerusi Sime Darby Property Bhd. telah menimbulkan konflik kepentingan.

Dalam pada itu, Vui Keong dalam jawapannnya menjelaskan, majlis penasihat turut diwujudkan oleh kerajaan terdahulu contohnya bagi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Soal locus standi bagi Majlis Penasihat Kerajaan tidak wujud kerana mereka bertindak sebagai penasihat yang tidak terikat dengan apa-apa perundangan,” jelasnya.

Menurut beliau, kerajaan masih dipertanggungjawabkan dari segi pentadbiran justeru Kabinet tidak semestinya terikat untuk melaksanakan nasihat daripada majlis tersebut.

Berhubung kunjungan Daim ke China, lawatan itu adalah atas arahan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN