MEKAH 28 Julai – Keupayaan fizikal merupakan aspek yang perlu difokuskan oleh jemaah Malaysia berikutan ramai yang cepat penat kerana perlu banyak berjalan sepanjang tempoh mengerjakan haji.
![]() |
|
MOHD. SHAFFARI MARZUKI
|
Timbalan Ketua Rombongan Haji (Perubatan), Dr. Mohd. Shaffari Marzuki berkata, berdasarkan statistik, batuk, selesema, sakit lutut dan sakit sendi merupakan kes yang paling banyak dirujuk ke pusat perubatan Tabung Haji pada setiap musim haji.
Beliau berkata, pada musim haji kali ini sudah 1,600 kes dirujuk ke pusat perubatan yang kebanyakannya melibatkan jemaah berusia 60 tahun ke atas.
“Keupayaan fizikal perlu ditingkatkan sejak dari tanah air lagi dengan berjalan sekurang-kurangnya setengah jam setiap hari.
“Hanya berbekalkan semangat tinggi tidak cukup untuk mengerjakan haji. Jangan bila sampai di sini baru hendak berjalan, memanglah cepat penat.
“Tambahan pula jika ada penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis dan masalah jantung selain jemaah merokok, jika penat cepat terdedah kepada penyakit,” katanya ketika ditemui di Pusat Rawatan Syisya di sini.
Menurutnya, terdapat tiga pusat perubatan disediakan Tabung Haji dengan yang terbesar adalah Pusat Rawatan Syisya selain di Abraj Al Janadriyah serta Dar Aljiffry, Madinah dengan kapasiti keseluruhan 268 katil.
Katanya, seramai 266 kakitangan perubatan termasuk doktor pakar ditempatkan di ketiga-tiga pusat berkenaan bagi pelbagai disiplin rawatan termasuk pergigian, dietetik, farmasi, radiologi, anestesiologi dan psikitri.
“Ubat yang disediakan adalah yang terbaik dari Malaysia. Perkhidmatan radiologi disediakan kerana masalah paru-paru adalah paling tinggi bagi rawatan dalam manakala rawatan luar banyak melibatkan sakit lutut dan sendi yang memerlukan fisioterapi,” katanya.
Menurutnya, pada tahun ini sebanyak tujuh bas ambulans safari wukuf disediakan bagi membawa jemaah sakit dan uzur untuk wukuf di Arafah.
“Berdasarkan pengalaman lepas, ramai jemaah jatuh sakit selepas wukuf. Oleh itu, program ceramah dari bilik ke bilik diadakan bagi meningkatkan pengetahuan mereka tentang aspek penjagaan kesihatan untuk mengurangkan perkara itu,” katanya.










