Kes saman Ismail Sabri, isu telur penyu cuba diselesaikan secara baik - Utusan Malaysia

Kes saman Ismail Sabri, isu telur penyu cuba diselesaikan secara baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 31 Julai – Pihak-pihak yang terlibat dalam kes saman fitnah RM10 juta oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terhadap penerbit akhbar Daily Express dan satu lagi berhubung isu hidangan telur penyu di Sabah tahun lalu, cuba menyelesaikan tuntutan itu secara baik.

Peguam Samsinaralia Sahar mewakili bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu memberitahu pemberita, Pesuruhjaya Kehakiman, Darryl Goon Siew Chye menetapkan 24 Ogos ini bagi pengurusan kes untuk mengetahui status kes saman tersebut.

Ismail selaku pihak plaintif menamakan Sabah Publishing House Sdn. Bhd. dan editornya, James Sarda sebagai pihak defendan dalam saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi di sini pada 30 Mac 2017. 

Pihak plaintif dalam pernyataan tuntutannya menyatakan, Daily Express bertarikh 24 Januari 2016 telah dengan niat jahat menyiarkan artikel bertajuk, Minister and Sabah YB have yet to comply: Dept bersama sekeping gambar plaintif.

Pihak defendan seterusnya telah menyiarkan artikel kedua bertarikh 3 September 2016 bertajuk, Beluran turtle eggs: Findings left to the AG.

Artikel ketiga pula disiarkan pada 6 September tahun sama bertajuk, Explain ‘turtle egg’ confusion first, Lim tells Minister.

Pihak plaintif mendakwa, pernyataan tersebut sengaja direka untuk memburukkan dan mencemarkan reputasi untuk mempersendakan kedudukannya sebagai Menteri, Ahli Parlimen dan ahli politik ketika itu. 

Selain menuntut ganti rugi RM10 juta, pihak plaintif turut menuntut ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta injunksi. 

Akhbar sebelum ini menyiarkan gambar Ismail Sabri bersama bekas Ketua UMNO Bahagian Beluran, Datuk James Ratib menikmati makan malam dengan telur penyu dihidangkan atas meja telah tular di media sosial.

Gambar tersebut membangkitkan kemarahan dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar di negeri itu.

Susulan penyebaran gambar itu, Datuk Masidi Manjun kini bekas Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata, siasatan sedang dijalankan Jabatan Hidupan Liar Negeri.

Di Sabah, Seksyen 41(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 memperuntukan hukuman denda RM50,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan memiliki haiwan yang dilindungi atau produk haiwan berkenaan, termasuk telur penyu. 

Pihak defendan diwakili peguam Bhag Singh. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN